Pilihan raya Myanmar, demokrasi baharu atau palsu?

Pilihan raya Myanmar, demokrasi baharu atau palsu?

PENGUNDI mencelup jari di dalam dakwat selepas selesai mengundi dalam fasa pertama pilihan raya umum Myanmar di Yangon, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAYPYIDAW: Pusat pengundian dibuka pada Ahad menandakan permulaan pilihan raya Myanmar yang didakwa junta akan mengembalikan pemerintahan demokrasi, lima tahun selepas tentera menggulingkan kerajaan dipilih rakyat dan mencetuskan perang saudara.

Bekas pemimpin awam, Aung San Suu Kyi masih dipenjarakan dan partinya yang sangat popular dibubarkan selepas tentera menamatkan ‘eksperimen demokrasi’ selama sedekad pada Februari 2021.

Proses pengundian didominasi oleh parti-parti yang dilihat rapat dengan tentera, dan ratusan individu ditangkap di bawah undang-undang baharu yang menetapkan tindakan menghalang, mengganggu atau mengkritik pilihan raya sebagai jenayah.

Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP), yang pro tentera, dijangka muncul sebagai parti terbesar, dengan pengkritik menganggap ia sebagai penjenamaan semula pemerintahan tentera.

Negara Asia Tenggara dengan populasi kira-kira 50 juta orang itu terus bergolak akibat perang saudara, dan pengundian tidak akan dijalankan di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang.

Di wilayah yang berada di bawah kawalan junta, pusingan pertama daripada tiga pusingan pengundian bermula pada pukul 6 pagi, termasuk di kawasan pilihan raya di bandar Yangon, Mandalay dan ibu negara Naypyidaw.

PILIHAN RAYA SURAM

Setahun lalu, kumpulan penentang menyebabkan beberapa siri kekalahan ke atas tentera, dengan ramai mengimpikan untuk menggulingkan jeneral, menamatkan dominasi junta selama beberapa dekad dalam politik serta ekonomi negara.

Namun, tahun ini tentera junta, yang diperkukuh oleh puluhan ribu lelaki yang dikerahkan di bawah undang-undang baharu dan disokong persenjataan dari China, berjaya merampas semula wilayah tersebut.

Penganalisis berkata, perkembangan itu membuka ruang kepada junta untuk mengadakan pilihan raya, dengan jeneral berharap satu perempat kerusi Parlimen baharu akan dikhaskan untuk tentera, sekali gus meyakinkan komuniti antarabangsa untuk terlibat semula dengan Myanmar selepas bertahun-tahun terpinggir susulan rampasan kuasa.

Di hab komersial Myanmar, Yangon, bendera kebangsaan dipasang sepanjang lebuh raya utama menuju ke bandar, manakala papan iklan elektronik menyiarkan liputan undian oleh media kerajaan.

Kepimpinan junta turut menjelaskan secara terbuka kecenderungan sokongan yang diharapkan daripada rakyat.

Senator Jeneral, Min Aung Hlaing, yang mengetuai rampasan kuasa pada 2021, menyeru pengundi memilih ‘calon yang boleh bekerjasama secara ikhlas dengan Tatmadaw’, merujuk kepada angkatan tentera.

Suasana kali ini jauh lebih suram berbanding pilihan raya sedekad lalu ketika Myanmar melalui percubaan ke arah demokrasi yang lebih terbuka.

Suu Kyi, yang selama beberapa dekad menjadi tokoh utama perjuangan demokrasi Myanmar, tidak kelihatan di papan iklan dan liputan media kerajaan.

Sejak ditahan selepas rampasan kuasa, penerima Hadiah Nobel Keamanan itu, kini menjalani hukuman penjara 27 tahun selepas disabitkan kesalahan oleh mahkamah junta atas pelbagai pertuduhan yang menurut pengkritik direka untuk menyingkirkannya daripada arena politik.

Pendekatan penentangan tanpa kekerasan yang pernah mengangkat nama Suu Kyi hampir dilupakan sejak rampasan kuasa, apabila perang saudara terus merebak. Dalam masa sama, tentera terus bertindak menyerang pihak penentang.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia mengumpul bukti pencabulan sistematik oleh tentera terhadap pejuang dan orang awam sejak rampasan kuasa itu.

Junta turut direkod melancarkan serangan berdarah, membakar dan mengebom kampung, membunuh penduduk, memenjarakan penentang serta memaksa orang awam menyertai tentera.

MESIN PENGUNDIAN ELEKTRONIK

Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan negara Barat tidak pernah mengiktiraf junta sebagai kerajaan sah Myanmar, manakala pilihan raya itu turut dikecam oleh beberapa kerajaan serantau, termasuk Jepun serta Malaysia.

Russia dan China sejak sekian lama menjadi antara penyokong terbesar Myanmar dan kedua-dua berpandangan positif terhadap pilihan raya tersebut.

Thailand dan India pula menggesa lebih banyak penglibatan dengan jeneral Myanmar bagi menamatkan krisis di sepanjang sempadan mereka.

China menggunakan kekuatan ekonominya untuk menekan kumpulan penentang yang menguasai wilayah di sepanjang sempadan, termasuk menutup lintasan darat bagi laluan perdagangan serta pergerakan penduduk.

Sementara itu, utusan Beijing menjadi pengantara dalam pemulangan semula wilayah dirampas kumpulan penentang kepada kawalan junta, termasuk hab perlombongan batu permata dan delima di Mogok.

Pengundian berlangsung dalam tiga peringkat, dengan fasa kedua pada 11 Januari dan ketiga pada 25 Januari. Namun, masih belum jelas bila keputusan akan diumumkan.

Rangkaian Pilihan Raya Bebas Asia berkata, 90 peratus kerusi dalam pilihan raya terdahulu dimenangi oleh organisasi yang tidak akan muncul dalam kertas undi pada Ahad.

Mesin pengundian elektronik baharu tidak akan membenarkan pengundi menulis nama calon sendiri atau merosakkan undi.

“Tentera hanya cuba mengesahkan kuasa yang mereka rampas secara paksa, dan saya berikrar mahu memboikot pilihan raya,” kata seorang individu dari utara Myitkyina kepada AFP, yang dirahsiakan identiti atas faktor keselamatan.- CNN/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN