JERANTUT: Pertukaran jawatan Pengarah Felda Wilayah Jengka, Mohd. Tarmizi Lee meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan warga peneroka di wilayah itu apabila beliau disifatkan sebagai pemimpin yang sentiasa dekat dengan masyarakat dan prihatin terhadap kebajikan mereka.
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, pemergian Mohd. Tarmizi ke tempat baharu bukan sekadar pertukaran jawatan, sebaliknya dianggap sebagai satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti.
“Bagi peneroka di Wilayah Jengka, beliau bukan sahaja seorang pengarah, malah sahabat yang mesra dan mudah didekati. Kenangan bersama akan terus dikenang,” katanya di sini hari ini.
Razak berkata, makluman pertukaran jawatan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka di Hotel Zenith, Kuantan, kelmarin.
“Suasana bertukar pilu apabila ramai peneroka menitiskan air mata ketika bersalaman dengan Mohd. Tarmizi yang terkenal dengan sikap ramah dan senyuman tidak pernah lekang di wajahnya.
“Beliau berkhidmat di Wilayah Jengka selama hampir lima tahun, iaitu sekitar empat tahun 11 bulan, sebelum mesyuarat terakhir pada 19 Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata, warga peneroka mendoakan agar Mohd. Tarmizi terus menempa kejayaan di tempat baharu yang disifatkan sebagai kenaikan pangkat dan penghargaan atas jasa serta komitmen sepanjang memimpin Felda Wilayah Jengka. – UTUSAN










