KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) bersama Sime Dinas Sdn. Bhd. (SDSB) memperkukuh kerjasama strategik bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui pelaburan baharu dalam sektor pertanian.
Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, kerjasama dengan SDSB akan membuka peluang industri baharu melibatkan pertanian, eksplorasi dan cari gali sumber mineral yang dikenal pasti mempunyai potensi komersial tinggi sekali gus memastikan petani di Pahang menerima bekalan baja mencukupi bagi. menyokong kelestarian sektor pertanian negeri.
“Pelaburan ini bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti.
“Usaha tersebut selari dengan agenda kerajaan negeri untuk memperkukuh aliran pelaburan serta meningkatkan nilai tambah ekonomi melalui pendekatan mampan dan berfokuskan rakyat,” katanya di sini hari ini.
Pengerusi SDSB, Datuk Seri Mohd. Rizal Abdul Rahim berkata, pihaknya komited menyokong ekosistem pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pembangunan ekonomi Pahang.
“Langkah ini membuktikan kesungguhan syarikat dalam memperkukuhkan jaringan strategik dan merebut peluang yang wujud dalam pelbagai sektor ekonomi negeri.
“SDSB sendiri aktif dalam bidang pertanian menerusi penghasilan baja organik berkualiti tinggi untuk tanaman seperti kelapa sawit, getah dan pokok durian yang terbukti dapat membantu meningkatkan hasil pengeluaran,” katanya.
Jelasnya, syarikat itu mengambil masa lebih 15 tahun melakukan kajian dan penyelidikan demi memastikan baja organik dihasilkan tersebut benar-benar berkualiti untuk tanaman.
Kerajaan Pahang sebelum ini mencatat kutipan hasil RM1 bilion bagi tahun ini, tahun keempat berturut-turut sasaran tersebut berjaya dicapai.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata, kejayaan itu membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri dan komitmen tinggi penjawat awam serta pembayar cukai dalam menjayakan agenda pembangunan. – UTUSAN










