Persatuan Kebajikan Harapan Insan Miskin (PEPIM) secara rasmi menjalinkan kolaborasi bersama Warisan Pahlawan Bakti sebagai rakan strategik dalam misi memperkasa naratif perpaduan nasional yang lebih inklusif, seimbang dan berpaksikan fakta sejarah tanpa menafikan peranan kaum lain dalam membina negara.
Langkah ini diambil bagi membuka ruang dan pencerahan berkenaan peranan besar bangsa-bangsa lain di Malaysia, khususnya masyarakat Cina, India, dan etnik-etnik Sabah serta Sarawak, yang seringkali dilupakan dalam wacana arus perdana berkenaan jasa mereka kepada negara.
Yang Dipertua Warisan Pahlawan Bakti, Dato’ Zaid Mokhtar menegaskan negara ini tidak dibina oleh satu bangsa sahaja, tetapi oleh keringat, air mata dan pengorbanan semua rakyatnya malah tidak boleh terlalu eksklusif sehingga menafikan setiap fakta sejarah.
Menurutnya, setiap warganegara perlu mengakui perjuangan bangsa Melayu dalam memertabatkan pembentukan Malaysia, namun jangan pula menafikan sumbangan masyarakat Cina dan India yang berjiwa patriotik dalam menyumbang pembangunan negara ini terutamanya dalam bidang ekonomi, pendidikan, keselamatan dan sosial selepas merdeka.

“Selain itu kita oleh lihat sumbangan mereka dalam sektor perdagangan, perindustrian dan perladangan. Ramai yang berkorban masa dan tenaga untuk membangunkan syarikat tempatan, mencipta peluang pekerjaan serta mengukuhkan ekonomi negara sejak dahulu hingga kini,”
“Dari aspek keselamtan pula, ramai daripada mereka menyertai pasukan keselamatan antaranya, polis, tentera, dan bomba, malah ada yang terkorban demi mempertahankan tanah air, walaupun nama mereka tidak banyak disebut dalam lembaran sejarah. Mereka bukan hanya penyokong dari belakang, tetapi pemain hadapan dalam membina tanah air ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dalam sistem pendidikan dan sosial, tokoh-tokoh daripada pelbagai kaum turut memainkan peranan penting dalam memajukan sektor ini. Ramai daripada mereka yang bermurah hati membina sekolah, yayasan, serta rumah kebajikan untuk keperluan semua golongan masyarakat di negara ini.
“Jika di lihat dari sudut politik dan perundangan pula, masih ramai daripada mereka yang menjunjung prinsip demokrasi dan integriti. Mereka bersama-sama menandatangani perjanjian kemerdekaan dan berkongsi memegang menjalankan amanah bagi memastikan kestabilan berterusan,”
“Warisan Pahlawan Bakti memilih pendekatan untuk menjernihkan persepsi. Kita sudah merdeka lebih 68 tahun, kita membina negara ini bersama-sama walaupun terdapat segelintir yang terpalit dengan agenda-agenda tertentu, namun itu bukan tiket untuk kita melabekan mereka secara keseluruhan,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun bertindak sebagai suara pencerahan dalam menyampaikan fakta ‘patriotisme bukan milik satu bangsa’, namun di sebalik tuduhan dan stigma seperti ‘komunis’, ‘pengkhianat’ dan sebagainya, namun masih ramai lagi daripada mereka yang cintakan keamanan dan tanah air walaupun dimomokkan oleh segelintir individu yang takutkan penyatuan.
Melalui kolaborasi ini, PEPIM dan Warisan Pahlawan Bakti akan menggerakkan pelbagai program pendidikan awam, dokumentari, wacana ilmiah dan inisiatif perpaduan akar umbi yang merentasi kaum dan agama.
“Negara ini tertubuh dengan keistimewaannya tersendiri melalui kewujudan pelbagai kaum dan budaya yang harmoni. Walaupun terdapat cubaan pihak tertentu untuk memecahbelahkannya, namun kita tetap kekal untuk menyatukan serta membina masyarakat harmoni yang cintakan negara kerana perpaduan tidak boleh dibina atas penafian, ia perlu dibina atas penghargaan.” ujarnya.










