KUALA TERENGGANU: Seramai tujuh penternak akuakultur di negeri ini menanggung kerugian hampir RM170,000 apabila kawasan dan hasil ternakan mereka musnah dalam bencana banjir, baru-baru ini.
Penternak yang terjejas dengan gelombang pertama banjir dari 24 November hingga 5 Disember lalu itu melibatkan lima daerah dengan pengusaha akuakultur dari Setiu paling banyak menanggung kerugian yang dianggarkan bernilai RM62,000.
Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kejadian banjir kali ini menjejaskan penternak ikan dalam kolam dan sangkar.
Katanya, kerugian dinilai berdasarkan beberapa perkara iaitu kerosakan struktur sangkar, jumlah pukat sangkar koyak dan rumah operasi di atas sangkar yang pecah.
“Selain itu, sangkar hanyut bersama ikan dan pecah, kolam ternakan ditenggelami air menyebabkan ikan terlepas dan jumlah ikan yang terlepas serta mati,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Banjir yang mula melanda 22 November lalu memaksa hampir 11,000 penduduk berpindah ke lebih 500 pusat pemindahan sementara di lapan daerah di negeri ini.
Pulau Redang di Kuala Nerus menjadi lokasi pertama terjejas banjir diikuti Pulau Perhentian, Besut sebelum ke daerah-daerah lain.
Beliau berkata, ketika ini Jabatan Perikanan Terengganu dalam proses perbincangan dengan untuk menyalurkan bantuan kepada penternak akuakultur yang terjejas.-UTUSAN.










