KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mengumumkan Pemberian Insentif Khas Pahang 1st. RM200 kepada kakitangan awam Persekutuan berpendapatan bawah RM3,000.
“Sehubungan itu, sebagai penghargaan di atas segala pengorbanan, kesetiaan, keikhlasan serta khidmat bakti sepanjang tahun, Kerajaan negeri dengan sukacita mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri melibatkan peruntukan keseluruhan RM48 juta yang akan dikreditkan sebanyak dua kali pada tahun 2026.
“Sebagai tanda terima kasih atas komitmen dalam memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.75 juta bagi Pemberian Insentif Khas Pahang 1st sebanyak RM200 kepada 18,743 kakitangan awam Persekutuan berpendapatan bawah RM3,000 pada 31 Disember 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang di sini.
Beliau berkata, pemberian bantuan kewangan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh penjawat awam di negeri ini yang merupakan tulang belakang pentadbiran negeri.
“Segala kejayaan negeri hari ini tidak akan tercapai tanpa peranan penting penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran. Komitmen dan kesetiaan mereka adalah nadi yang menggerakkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Wan Rosdy turut melahirkan harapan agar seluruh penjawat awam Negeri dan Persekutuan di negeri ini terus berdiri teguh bersama kerajaan negeri untuk memperkasa iltizam, memantapkan integriti dan memelihara semangat berpasukan.
“Saya amat berharap seluruh penjawat awam negeri dan Persekutuan terus berdiri teguh bersama kerajaan negeri untuk memperkasa iltizam, memantapkan integriti dan memelihara semangat berpasukan agar segala agenda pembangunan yang direncanakan dapat direalisasikan demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat Pahang.
“Dalam masa yang sama, saya menyeru agar penjawat awam kekal menjadi benteng pelindung yang mempertahankan kerajaan negeri apabila wujud suara-suara yang cuba memesongkan fakta, mengeruhkan persepsi dan menggugat keyakinan rakyat terhadap usaha yang telah dilaksanakan selama ini,” katanya. – UTUSAN










