Pengurusan saksi kanak-kanak Malaysia terbaik di dunia

Pengurusan saksi kanak-kanak Malaysia terbaik di dunia

WAN Ahmad Farid Wan Salleh (duduk, dua kiri) bergambar kenangan bersama pengamal media pada pertemuan Ketua Hakim Negara sempena 100 hari pelantikan di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memberitahu pengurusan saksi kanak-kanak di negara ini boleh disifatkan sebagai yang terbaik di dunia.

Ini kerana pengurusan dan penjagaan saksi kanak-kanak itu, bermula dari rumah hingga ke mahkamah.

“Sewaktu berucap di Persidangan Antarabangsa mengenai Keadilan di Riyadh pada 23 November lalu, mereka (peserta persidangan) terkejut bahawa kita (Malaysia) sangat maju dalam memastikan keselamatan saksi kanak-kanak ketika memberi keterangan. Dan kita kemungkinan yang terbaik di dunia ketika ini.

“Apabila membabitkan ka­nak-kanak, kalau dia mangsa, kanak-kanak perlu menghadapi dua jenis trauma. Pertama, trauma ketika kejadian berlaku.

“Kedua, ketika memberikan keterangan di mahkamah. Kanak-kanak itu perlu meng­ingati semula kejadian yang berlaku terhadapnya.

“Trauma akan berganda apabila pelaku membabikan ahli keluarga seperti bapa saudara, ayah, abang. Perkara-perkara ini kita ambil kira dalam membantu saksi kanak-kanak.

“Kita telah menyediakan bilik khas untuk membantu mereka memberi keterangan tanpa perlu berada di dalam bilik mahkamah. Bilik khas ini mesra kanak-kanak jadi ia amat membantu.

“Saya percaya, sejak kita menyediakan bilik dan van saksi kanak-kanak, jumlah sa­bitan dalam kes jenayah seksual kanak-kanak juga meningkat,” kata Wan Ahmad Farid dalam Sesi Temu Bual Sempena 100 Hari Pelantikan Sebagai Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman di sini, semalam.

Pada 30 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Aza­lina Othman Said memaklumkan bahawa sejumlah RM10 juta telah diperuntukkan bagi memperluas perkhidmatan mahkamah bergerak, terma­suk Mahkamah Kanak-Kanak Bergerak dan inisiatif justice on wheels menggunakan van khas.

Beliau berkata, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada RM165 juta yang disediakan di bawah Belanjawan 2026 bagi pembangunan serta penyelenggaraan kemudahan­ fizikal mahkamah yang me­rupakan satu langkah yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh institusi kehakiman di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×