Pemulihan ekonomi Syria pesat selepas perang 14 tahun

Pemulihan ekonomi Syria pesat selepas perang 14 tahun

KANAK-kanak Syria memegang bendera negara sambil berdiri di atas bahu seorang lelaki semasa sambutan setahun serangan Islamis menumbangkan pemerintah lama di Hama, Syria.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Ekonomi Syria mencatat pertumbuhan jauh lebih pantas berbanding unjuran Bank Dunia sebanyak satu peratus bagi tahun 2025, didorong oleh kepulangan pelarian selepas tamatnya konflik bersenjata selama 14 tahun.

Gabenor Bank Pusat Syria, AbdulKader Husrieh berkata, perkembangan itu turut mencetuskan perancangan untuk melancarkan semula mata wang negara berkenaan serta usaha membangunkan hab kewangan baharu di Asia Barat.

Berucap menerusi sidang video pada satu persidangan di New York, AbdulKader turut mengalu-alukan perjanjian dengan Visa bagi membangunkan sistem pembayaran digital.

Menurutnya, Syria juga sedang bekerjasama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk merangka kaedah pengukuran data ekonomi yang lebih tepat bagi mencerminkan pemulihan ekonomi negara itu.

Ketua bank pusat Syria menyifatkan pemansuhan sebahagian besar sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara itu sebagai satu ‘keajaiban’, ketika Damsyik berusaha menyertai semula ekonomi global selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad kira-kira setahun lalu.

Beliau berkata, pada 10 November lalu, Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan lanjutan selama 180 hari terhadap penggantungan sekatan yang dikenali sebagai Akta Caesar, namun pemansuhan sepenuhnya masih tertakluk kepada kelulusan Kongres.

AbdulKader berkata, hasil perbincangan dengan penggubal undang-undang di AS, beliau menjangkakan sekatan berkenaan akan dimansuhkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, sekali gus menamatkan fasa terakhir sekatan terhadap Syria.

Syria juga sedang berusaha merombak peraturan berkaitan pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, yang menurutnya akan meningkatkan keyakinan institusi kewangan antarabangsa, katanya.

Pada masa sama, negara tersebut turut membuat persiapan untuk melancarkan mata wang baharu dalam lapan denominasi wang kertas, selain mengesahkan rancangan membuang dua sifar pada nilai mata wang itu, sebagai usaha memulihkan keyakinan terhadap pound Syria yang terjejas teruk.

“Mata wang baharu ini akan menjadi simbol pembebasan kewangan negara. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Visa dan Mastercard,” katanya.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN