Pemulihan bekalan elektrik Pangsapuri Seri Perantau dibuat berperingkat

Pemulihan bekalan elektrik Pangsapuri Seri Perantau dibuat berperingkat

Pangsapuri Seri Perantau
BORHAN Aman Shah mempengerusikan mesyuarat bersama jawatankuasa penduduk dan pihak-pihak berkepentingan berhubung masalah bekalan elektrik Blok C Pangsapuri Seri Perantau, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Isu bekalan elektrik yang melanda lebih 600 penduduk di 128 unit rumah dekat Blok C Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang akan dipulihkan secara berperingkat dengan mengutamakan keselamatan dan keperluan asas mereka.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, kerajaan negeri akan memantau perkembangan dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara menyeluruh dan berhemah.

“Saya mempengerusikan mesyuarat penyelesaian berhubung isu gangguan elektrik di Pangsapuri Seri Perantau pada hari ini yang meneliti langkah penyelesaian segera serta perancangan susulan bagi memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara.

“Kerajaan negeri sedang menyelaras tindakan susulan dengan penekanan kepada pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta kerjasama teknikal dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan warga emas, pesakit dialisis antara 600 penduduk pangsapuri berkenaan terjejas rutin harian apabila kediaman mereka terputus bekalan elektrik hampir seminggu.

Keadaan tersebut berlaku apabila berlaku kebakaran dipercayai akibat litar pintas dalam bilik sesalur elektrik (DB) di blok berkenaan pada awal pagi, 7 Disember lalu.

Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, Borhan dalam lawatannya di pangsapuri berkenaan memaklumkan kerja-kerja pembaikan menyeluruh sistem pendawaian elektrik di blok tersebut dijangka menelan belanja sehingga RM1.7 juta.

Menurutnya, anggaran awal kos pembaikan sekitar RM520,000, namun meningkat selepas pemeriksaan secara menyeluruh dibuat bagi memastikan ia kembali berfungsi dengan selamat dan mematuhi piawaian keselamatan dan teknikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN