Pemain ragbi Kelantan ditemukan lemas semasa jala ikan

Pemain ragbi Kelantan ditemukan lemas semasa jala ikan

ANGGOTA bomba bersama penduduk kampung mengusung mayat mangsa yang ditemukan lemas semasa menjala ikan di Kampung Pemberian, Kuala Krai, Kelantan.-IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Seorang pemain ragbi Kelantan ditemukan lemas semasa menjala ikan di kawasan kebun getah yang ditenggelami banjir susulan limpah air Sungai Lebir, di Kampung Pemberian di sini petang tadi.

Kejadian pukul 3 petang itu dipercayai berlaku selepas tong dram yang dijadikan sebagai perahu terbalik semasa Muhammad Syahril Hakimy Sudin, 19, menjala ikan di kawasan tersebut.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Khairul Duha Abdul Halim berkata, mayat mangsa ditemukan di dasar kawasan kebun getah pada pukul 9.02 malam tadi.

“Kita temukan mayat ini pada jarak 50 meter dari lokasi dia dikhuatiri hilang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Mohd. Khairul Duha memberitahu, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.22 malam.

Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai telah dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Setibanya di lokasi, maklumat awal diterima daripada orang awam memaklumkan bahawa seorang lelaki dewasa dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki terbalik semasa menjalankan aktiviti menjala ikan di kawasan kebun getah yang dinaiki air,” ujarnya.

Sementara itu, jiran mangsa Syafirul Iman Mohd Rasdhi, 20, berkata, kehilangan Muhammad Syahril Hakimy disedari oleh seorang penduduk kampung selepas selipar dan jala miliknya ditemukan di kawasan tebing sungai pada pukul 6 petang.

Katanya, Muhammad Syahril Hakimy merupakan pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor pulang ke kampung halaman sempena cuti sekolah.

“Tong dram yang dinaikinya didapati terbalik, tetapi dia tidak ditemukan selepas usaha awal mencari dilakukan. Saya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN