Pekerja bakal terima skim perlindungan hingga luar waktu bekerja

Pekerja bakal terima skim perlindungan hingga luar waktu bekerja

STEVEN SIM CHEE KEONG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan pekerja bakal memperoleh Skim Lindung 24/7 iaitu sebuah skim perlindungan menyeluruh kepada mereka sepanjang masa termasuk sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 bakal memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.

Menurut beliau, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempunyai keupayaan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan skim terbabit apabila dilaksanakan kelak.

“Purata tempoh masa pemprosesan (tuntutan) untuk tahun lepas di bawah Perkeso bagi setiap kes adalah lebih kurang 24 jam. Maksudnya, kecekapannya memang ada untuk memastikan kes diproses dengan segera.

“Perkeso memang tidak ada kompromi untuk memastikan kecekapan. Purata (masa diambil untuk memproses tuntutan) adalah 1.29 hari,” katanya ketika menggulung RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

Steven Sim berkata, kajian sedang dijalankan oleh pihak kementeriannya untuk memberikan insentif kepada pencarum yang tidak membuat sebarang tuntutan dalam tempoh tertentu.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Steven Sim berkata, sebanyak 12,306 kes tuntutan ditolak Perkeso sejak 2023 hingga Oktober lalu selepas ia diputuskan sebagai bukan bencana kerja.

Beliau berkata, jumlah tersebut menunjukkan wujud kepentingan untuk pelaksanaan Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang dimasukkan dalam RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025.

Katanya, pelaksanaan skim tersebut bagi mengelak situasi ribuan keluarga yang terpaksa menanggung sendiri kos rawatan dan segala perbelanjaan pemulihan, hanya kerana kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 10 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum Perkeso kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, setakat 30 November lalu sebanyak 57,094 atau 85.3 peratus pekerja telah menerima manfaat di bawah pelbagai faedah dalam SIP.

Beliau berkata, jumlah berkenaan adalah daripada sebanyak 69,923 kes kehilangan pekerjaan yang telah direkodkan oleh Perkeso dalam tempoh lima tahun.

“Jumlah keseluruhan bayaran faedah SIP yang diluluskan ialah sebanyak RM437.19 juta dan kerajaan kekal komited memastikan bantuan ini terus disalurkan secara cepat, telus dan berkesan agar pekerja yang terkesan meneruskan kelangsungan hidup sementara mereka kembali memasuki pasaran pekerjaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN