TUMPAT: Pas tidak menolak kemungkinan dialog dengan MCA menjadi antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat kerja pusat parti itu pada Sabtu ini.
Timbalan Mursyidul Am Datuk Ahmad Yakob berkata, ia selari dengan cadangan dibuat oleh Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari untuk mengadakan dialog bagi memberikan maklumat jelas tentang dasar yang jelas parti itu kepada MCA.
Katanya, beliau yakin dengan penjelasan itu nanti ia dapat mengubah tanggapan tidak baik kepada Pas yang membelenggu MCA sebelum ini.
“Selama ini, tiada penjelasan yang jelas melibatkan dasar-dasar Pas sehingga ada menjadi takut dengan kita (Pas).
“Apabila perkara (dasar) itu sudah dijelaskan, masyarakat bukan Islam akan dapat menerima Pas sebagaimana yang telah dilakukan oleh penduduk bukan Islam di Kelantan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Lawatan Kerja ke Tapak Tangki Kampung Laut di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, ia dapat dilihat apabila golongan bukan Islam memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pentadbiran Pas di Kelantan.
Utusan Malaysia 8 Ogos lalu melaporkan, Pas sentiasa bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan dasar serta mengatasi sebarang kekeliruan yang timbul.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebarang pandangan terhadap Pas wajar dijernihkan melalui dialog terbuka, bukannya berdasarkan persepsi yang tidak lengkap.-UTUSAN










