KUANTAN: Paras air di beberapa sungai utama di negeri ini menunjukkan peningkatan ketara pagi ini, dengan beberapa stesen mencatatkan bacaan melebihi tahap amaran dan menghampiri paras bahaya.
Menurut data rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dikemas kini pada pukul 8 pagi, stesen Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut mencatatkan aras air 50.60 meter, melepasi tahap amaran 49.00 meter dan menghampiri paras bahaya 53.00 meter.
Turut mencatatkan bacaan tinggi ialah Sungai Tembeling di Kampung Merting dengan paras 58.36 meter, melepasi tahap amaran dan hanya 1.64 meter daripada paras bahaya.
Di Kuantan, Sungai Belat di Sri Damai mencatatkan aras 6.20 meter, melebihi paras bahaya 4.80 meter, manakala Sungai Kuantan di Pasir Kemudi berada pada 6.12 meter, menghampiri tahap amaran 6.40 meter.
Beberapa sungai lain yang turut menunjukkan peningkatan termasuk Sungai Serting di Padang Gudang (30.62m), Sungai Lepar di Gelugor (29.81m), dan Sungai Kenau di Sungai Rimau (34.53m), masing-masing berada pada atau melepasi tahap amaran.
Sementara itu, Sungai Soi di Jalan Pekan-Kuantan mencatatkan aras 4.47 meter, melepasi tahap waspada dan menghampiri amaran.
JPS menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa melalui portal rasmi Info Banjir JPS.
Langkah berjaga-jaga termasuk pemindahan awal dan penyediaan keperluan asas perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sekiranya hujan berterusan. – UTUSAN










