Pakistan-Afghanistan kembali tegang

Pakistan-Afghanistan kembali tegang

SEBUAH kenderaan berperisai Pakistan ditempatkan di sempadan Pakistan-Afghanistan di Chaman, susulan pertempuran rentas sempadan antara kedua-dua negara pada Jumaat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Gencatan senjata rapuh antara Pakistan dan Afghanistan kembali tegang apabila tentera kedua-dua negara saling berbalas tembakan di sempadan pada Jumaat, walaupun tiada kematian atau kerosakan dilaporkan.

Setiap pihak saling menuding jari sebagai punca pertembungan, yang jelas melanggar gencatan senjata dikuatkuasakan sejak dua bulan lalu.

Rundingan antara Kabul dan Islamabad yang bertujuan mengurangkan ketegangan sempadan menemui jalan buntu pada November, walaupun gencatan senjata yang diusahakan Qatar pada Oktober, kebanyakannya masih bertahan.

Insiden berlaku sehari selepas Pakistan mengumumkan untuk membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar bekalan bantuan ke Afghanistan melalui pintu sempadan Chaman dan Torkham, yang ditutup hampir dua bulan akibat ketegangan.

Pegawai polis Pakistan, Mohammad Sadiq mendakwa, tembakan bermula dari pihak Afghanistan dan tentera negaranya membalas berhampiran pintu sempadan Chaman, yang merupakan laluan transit penting.

Di Afghanistan, jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, menuduh Pakistan sebagai punca pertukaran serangan itu.

“Malangnya, pada petang ini (Jumaat), pihak Pakistan sekali lagi melancarkan serangan ke atas Afghanistan di daerah Spin Boldak, Kandahar, memaksu pasukan Emiriah Islam bertindak balas,” tulis Mujahid di X.

Jurucakap polis sempadan Afghanistan, Abdullah Farooqi berkata, pasukan Pakistan terlebih dahulu melemparkan bom tangan ke kawasan sempadan Spin Boldak, mencetuskan tindak balas.

Ketegangan meningkat selepas pertembungan sempadan pada Oktober lalu, mengorbankan puluhan tentera dan orang awam, serta mencederakan ratusan lagi di kedua-dua belah pihak.

Keganasan itu tercetus susulan letupan di Kabul pada 9 Oktober, yang menurut kerajaan Taliban disebabkan oleh Pakistan, dan berikrar untuk membalas dendam.- CNN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN