Orang pun sudah tidak suka saya – Azam Baki

Orang pun sudah tidak suka saya – Azam Baki

AZAM Baki ketika menyampaikan ucapan pada Program SPRM-UiTM Inspira 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Shah Alam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUNCAK ALAM: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi bayangan tidak lagi menerajui suruhanjaya itu pada tahun hadapan.

Beliau berkata, kontraknya yang telah dilanjutkan seba­nyak tiga kali sebelum ini menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati.

“Insya-Allah, tahun depan tempoh perkhidmatan saya akan tamat, ia telah disambung tiga kali sebelum ini.

“Orang pun sudah tidak suka saya, Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) pun tidak suka saya, dia kata jangan sambung Azam Baki,” selorohnya dalam ucapan ketika program SPRM – UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam di sini, semalam.

Kata Azam, siapa penggantinya tidak menjadi isu.

“Apa yang penting pengganti saya meneruskan agenda me­ningkatkan integriti, mempromosikan tadbir urus baik dan menguatkuasakan undang-undang antirasuah tanpa gentar atau pilih kasih,” jelasnya.

Dalam perkembangan bera­singan, Azam memberitahu, penubuhan Ombudsman Malaysia dilihat dapat memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan jabatan kerajaan tanpa ada pertindihan kuasa dan fungsi SPRM.

Jelas Azam, bidang tugas utama SPRM melibatkan kerja penyiasatan dan operasi selain melaksanakan program pendidikan serta advokasi kepada masyarakat berkaitan integriti dan tatakelola.

Beliau berkata, penubuhan agensi baharu itu dipengerusikan Perdana Menteri pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja-Kerajaan Tertinggi Negara (JKKTN) baru-baru ini melibatkan setiap jabatan termasuk SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi dan jabatan.

“SPRM merupakan antara agensi yang berada dalam Ombudsman Malaysia selain jabatan dan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana perincian mengenai bidang tugas akan dimaklumkan kemudian.

“Ombudsman Malaysia ini akan memfokuskan kepada isu-isu tadbir urus dan tata kelola, kerajaan juga sebelum ini menyatakan tidak akan ada pertindihan kuasa dan saya juga memberi jaminan hal sama tidak akan berlaku,” jelasnya.

Azam memberitahu, SPRM akan memberi kerjasama penuh dalam penyediaan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia yang dijangka dibentangkan di Parlimen pertengahan tahun hadapan.

Sementara itu, Azam turut mengesahkan, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad akan memberikan ketera­ngan dalam tempoh terdekat berkaitan siasatan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II).

Kata beliau, Adam telah memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh de­ngan pihaknya.

“Sebelum ini Adam tidak ada dalam negara, jadi kita perlukan bantuan beliau, jadi SPRM sudah berhubung de­ngan beliau dalam tempoh terdekat baru-baru ini.

“Beliau juga telah beri maklum balas kepada SPRM dan peguamnya, Tan Sri Shafie Abdullah juga ada menghantar surat kepada kita memberi jaminan berkaitan perkara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×