MTSP jadi barisan hadapan salur bantuan pasca bencana - Utusan Malaysia

MTSP jadi barisan hadapan salur bantuan pasca bencana

NIK Mohd. Ridzuan Kamarudin (tengah) bersama sukarelawan yang terlibat program gotong-royong anjuran MTSP Indera Mahkota di Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Sungai Karang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sama ada ketika banjir mahupun bencana lain, Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP) sentiasa bersedia menghulurkan bantuan demi kepentingan masyarakat.

Pengerusi MTSP Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bukan bersifat bermusim, sebaliknya berfungsi sebagai wadah mendengar suara rakyat dan mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah komuniti.

“Peranan kita, tidak hanya membantu ketika penduduk berdepan musibah banjir, namun merangkumi pelbagai lagi aspek, terutama membabitkan kepentingan masyarakat.

“MTSP melaksanakan pelbagai lagi aktiviti komuniti dan ia adalah menjadi objektif utama kami, mendengar dan mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi penduduk,” katanya ketika ditemui selepas program gotong-royong anjuran MTSP Indera Mahkota di Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Sungai Karang di sini hari ini.

Seramai kira-kira 200 sukarelawan daripada MTSP Indera Mahkota dan Kuala Krau menyertai gotong-royong yang bermula pukul 8 pagi itu.

Turut sama membersihkan kediaman penduduk di taman perumahan terbabit adalah Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Datuk Seri Ismail Mohd. Said dan Penyelaras DUN Beserah, Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Mustafar Kamal memberitahu, beliau terharu dengan kesudian sukarelawan MTSP dari Kuala Krau yang sudi menyertai program berkenaan.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Ismail kerana berjaya menyelaraskan kehadiran anak buah dari Kuala Krau bagi membantu kami,” katanya.

Sementara itu, Ismail memaklumkan, seramai 103 sukarelawan dari Kuala Krau menyertai gotong-royong berkenaan.

“Kita bawa mereka dengan bas dan ada juga sanggup memandu sendiri ke sini bagi menunjukkan kesatuan kita dalam menghadapi keadaan mencabar seperti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN