KUANTAN: MIC dicabar supaya mengadakan referendum atau proses pungutan suara dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi bagi menentukan sama ada parti itu wajar keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, keputusan keluar gabungan itu tidak seharusnya hanya ditentukan oleh segelintir pimpinan MIC, sebaliknya perlu melibatkan suara keseluruhan ahli.
“Keputusan semasa Perhimpunan Agung MIC Ke-79 pada 16 November lalu hanya dibuat oleh perwakilan yang kita percaya terpaksa berbuat demikian dan boleh dikawal pihak tertentu.
“Jadi, buat referendum dan biar semua ahli MIC di peringkat akar umbi buat keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Sharkar menegur tindakan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, K. Arvind yang menuduh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai pemimpin ‘mabuk kuasa’ serta ‘siang cakap lain, malam buat lain’.
Menurutnya, kenyataan Arvind yang cuba menafikan kelemahan dalaman MIC jelas tidak mencerminkan realiti sebenar.
“Sebaliknya, ia dilihat sebagai usaha mengalih perhatian daripada isu pokok yang semakin meruncing dalam parti tersebut. Tindakan defensif sedemikian hanya menimbulkan lebih banyak persoalan tentang keupayaan kepimpinan MIC untuk menangani cabaran semasa.
“Jika MIC terus menafikan realiti dan enggan melakukan pembaharuan, parti itu berisiko kehilangan relevansi dalam landskap politik negara. Kenyataan seperti yang dibuat Arvind bukan sahaja gagal menutup kelemahan, malah membuka ruang lebih luas untuk kritikan terhadap MIC,” katanya.
Menurutnya, keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana mengejar kuasa, tetapi kerana keberanian memikul tanggungjawab ketika negara berada di ambang ketidakstabilan politik.
“UMNO tidak pernah lari daripada prinsip perjuangan untuk rakyat dan negara. Langkah menyertai Kerajaan Perpaduan adalah keputusan sukar tetapi perlu demi kestabilan politik dan kelangsungan ekonomi,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Pemuda MIC membidas kenyataan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berhubung status keanggotaan parti itu dalam gabungan tersebut antaranya dengan mengingatkan parti berkenaan agar jangan ‘siang cakap lain, malam pula cakap lain’. – UTUSAN










