MELAKA: Sebanyak 72 projek berjaya diselaraskan setakat Oktober lalu melalui Penggalak Perindustrian Melaka atau Melaka Industrial Booster (MIB) yang memastikan pemain industri tidak lagi menghadapi kelewatan akibat prosedur birokrasi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, MIB berjaya menghimpunkan 29 agensi bagi mempercepat proses kelulusan pembangunan industri dan menyediakan sokongan langsung kepada syarikat yang ingin melabur di negeri ini.
Beliau berkata, ia merupakan pusat sehenti yang direka untuk menyelaraskan proses pelaburan dan mempercepatkan pertumbuhan zon perindustrian.
“Melalui MIB, Melaka menjadi negeri contoh dalam mengubah cara kerja kerajaan ke arah lebih cekap dan produktif. MIB diperkenalkan bagi memastikan pemain industri tidak perlu menunggu tanpa perlu kerana birokrasi.
“Setakat ini sebanyak 72 syarikat telah berjaya menggunakan sistem MIB untuk mempercepatkan pelbagai proses di Melaka termasuk pemindahan tanah, kelulusan pemilikan dan prosedur permulaan kerja,” katanya selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Perindustrian Ketua Menteri (CMIEA) 2025 di Banda Hilir di sini, malam tadi.
Ab. Rauf berkata, mekanisme itu berjaya memberikan sokongan lebih kukuh kepada pelabur agar melihat Melaka sebagai pilihan ideal mengembangkan industri mereka.
“Saya percaya kami boleh meningkatkan lagi sokongan dan keyakinan untuk pelaburan berterusan di negeri ini,” katanya.
Majlis itu menyaksikan dua syarikat memenangi Anugerah Ketua Menteri iaitu anugerah tertinggi di bawah CMIEA selepas 10 tahun anugerah berprestij itu diadakan semula.
Medivest Sdn. Bhd. memenangi bagi kategori syarikat tempatan terbaik manakala CSC Steel Sdn. Bhd. pula bagi kategori syarikat multinasional terbaik. – UTUSAN










