MANILA: Mangsa terselamat Taufan Rai 2021 di Filipina memfailkan saman terhadap syarikat minyak Britain, Shell, menuntut pampasan atas kemusnahan yang dikaitkan dengan perubahan iklim, menurut tiga NGO yang menyokong tindakan itu pada Khamis.
Taufan berkenaan melanda wilayah selatan dan tengah Filipina pada Disember 2021, meranapkan talian elektrik, menumbangkan pokok dan mencetuskan banjir yang membunuh lebih 400 orang serta meninggalkan ratusan ribu penduduk tanpa tempat tinggal.
Saman yang difailkan bagi pihak 103 mangsa mendakwa pelepasan karbon Shell menyumbang kepada perubahan iklim yang menjejaskan komuniti setempat.
Plaintif, Trixy Elle, yang rumah dan empat botnya musnah dalam bencana itu, berkata tindakan undang-undang tersebut bertujuan menuntut keadilan untuk penduduk terpinggir.
“Kami hanya menyumbang sedikit kepada pencemaran, tetapi yang menanggung akibatnya adalah golongan miskin seperti kami,” kata wanita berusia 34 tahun itu, yang masih menanggung pinjaman faedah tinggi untuk membina semula kehidupannya.
Elle berkata beliau bukan bersuara untuk komuniti sendiri sahaja, tetapi semua rakyat Filipina yang merasai kesan krisis iklim, sambil menambah anak lelakinya yang kini berusia 13 tahun masih mengalami trauma akibat ribut tersebut.
Dalam kenyataan bersama, NGO yang menyokong tindakan undang-undang itu menyifatkannya sebagai ‘langkah tegas untuk memastikan syarikat minyak Shell bertanggungjawab terhadap kematian, kecederaan dan kemusnahan yang ditinggalkan oleh ribut yang dipacu perubahan iklim’.
Walaupun taufan adalah fenomena biasa di Asia Tenggara, saintis sekian lama memberi amaran perubahan iklim menjadikan ribut semakin kuat kerana atmosfera yang lebih panas menyimpan lebih banyak wap air, manakala laut yang lebih panas mempercepatkan pembentukan sistem ribut.
Di Manila pada Khamis, jurukempen iklim Greenpeace, Virginia Benosa-Llorin, menyifatkan saman itu sebagai ‘kes ujian untuk memastikan syarikat korporat bertanggungjawab’.
Peguam berpangkalan di UK, Joe Snape, menerusi pautan video berkata, tindakan itu merupakan kali pertama plaintif dari Selatan Global mengambil tindakan berkaitan kecederaan peribadi dan kerosakan harta benda besar-besaran, yang didakwa berpunca daripada tindakan dan dasar di Utara Global.- AFP










