Mangsa banjir Sumatera diancam kebuluran

Mangsa banjir Sumatera diancam kebuluran

PENDUDUK kampung berdiri di atas longgokan kayu balak yang dihanyutkan oleh banjir kilat di Garoga, wilayah Sumatera Utara, Indonesia.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Hujan lebat berterusan mengancam pulau Sumatera yang teruk terjejas banjir, dengan pihak berkuasa memberi amaran kebuluran berisiko meningkatkan jumlah kematian yang kini mencecah 883 orang.

Rangkaian ribut tropika dan hujan monsun melanda Asia Tenggara serta Asia Selatan, mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat dari hutan hujan Sumatera hingga ke ladang tanah tinggi di Sri Lanka.

Kira-kira 1,770 orang terkorban dalam bencana alam yang melanda Indonesia, Sri Lanka, Malaysia, Thailand dan Vietnam sejak minggu lalu.

Agensi cuaca kebangsaan Indonesia berkata, hujan kembali melanda wilayah Aceh dan Sumatera Utara pada Sabtu, ketika banjir memusnahkan jalan raya, menenggelamkan rumah dalam lumpur dan memutuskan bekalan ke kawasan.

Gabenor Aceh, Muzakir Manaf berkata, pasukan tindak balas masih menjalankan operasi mencari mayat, dengan sebahagian kawasan diliputi lumpur pada paras pinggang.

Bagaimanapun, kebuluran kini menjadi antara ancaman paling serius yang menghantui penduduk kampung terpencil dan sukar diakses akibat terputus hubungan.

“Orang ramai bukan sahaja terkorban akibat banjir, tetapi juga akibat kebuluran. Itulah hakikatnya,” katanya kepada pemberita.

Menurut Muzakir, beberapa kampung di wilayah Aceh Tamiang yang dilitupi hutan hujan dihanyutkan sepenuhnya oleh banjir.

“Wilayah Aceh Tamiang musnah sepenuhnya, dari kawasan hulu hingga ke hilir, termasuk jalan raya hingga ke pesisir laut.

“Banyak kampung dan mukim kini hanya tinggal nama,” katanya.

Seorang mangsa banjir di Aceh, Munawar Liza Zainal berkata, penduduk rasa ‘dikhianati’ oleh kerajaan Indonesia yang setakat ini menolak tekanan untuk mengisytiharkan bencana kebangsaan.

“Ia bencana dahsyat yang perlu ditangani dengan langkah luar biasa. Jika status bencana kebangsaan hanya diisytiharkan kemudian, apa gunanya katanya kepada AFP.

Minggu ini, kerajaan Indonesia menolak tawaran bantuan asing kerana yakin mampu menangani sendiri kesan banjir dahsyat dan tanah runtuh di wilayah berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN