RAMALLAH: Lebih setengah juta rakyat Palestin kehilangan sumber pendapatan di Tebing Barat dan Gaza sejak bermulanya perang Israel pada Oktober 2023, menurut kesatuan sekerja pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan, Persekutuan Am Kesatuan Sekerja Palestin berkata, pekerja berdepan sekatan sistematik, penutupan kawasan serta serbuan harian oleh tentera Israel.
Dasar Israel itu disifatkan sebagai ‘jenayah’ terhadap pekerja Palestin dan menjejaskan hak asasi mereka untuk bekerja serta hidup dengan bermaruah, menurut kenyataan itu.
“Dasar pendudukan Israel sepanjang lebih dua tahun pencerobohan berterusan menyebabkan lebih 500,000 pekerja Palestin kehilangan mata pencarian, dengan kadar pengangguran meningkat ke tahap yang belum pernah berlaku, melebihi 50 peratus di Tebing Barat dan lebih 84 peratus di Semenanjung Gaza,” kata kenyataan itu.
Ia menjelaskan, pekerja Palestin menanggung kerugian melebihi AS$9 bilion (RM36.6 bilion) akibat dihalang daripada ke tempat kerja, selain kemusnahan sektor produktif tempatan, khususnya pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.
Menurut kenyataan itu, seramai 44 pekerja terbunuh, ratusan cedera, dan lebih 34,000 lagi ditahan oleh tentera Israel sejak Oktober 2023.
Persekutuan itu menganggap kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerugian kewangan besar tersebut serta pembunuhan puluhan pekerja Palestin di sekatan tentera atau akibat serangan peneroka, ketika mereka berusaha mencari rezeki untuk keluarga masing-masing, yang disifatkan sebagai pelanggaran jelas terhadap konvensyen buruh antarabangsa dan Konvensyen Geneva.
Tentera Israel membunuh lebih 70,700 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 170,000 yang lain di Gaza sejak Oktober 2023.
Serangan tentera Israel dan peneroka haram turut mengorbankan sekurang-kurangnya 1,097 rakyat Palestin serta mencederakan hampir 11,000 yang lain di Tebing Barat yang diduduki dalam tempoh sama.- ANADOLU










