Laporan Ketua Audit Negara bukan propaganda politik - Nik Mohd. Ridzuan - Utusan Malaysia

Laporan Ketua Audit Negara bukan propaganda politik – Nik Mohd. Ridzuan

NIK MOHD. RIDZUAN KAMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebarang percubaan meremehkan atau mempersoalkan kewibawaan Laporan Ketua Audit Negara tanpa asas yang kukuh bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh ditafsirkan sebagai satu tindakan yang merendahkan martabat institusi Ketua Audit Negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, kenyataan sedemikian juga dibimbangi secara tidak langsung mencemar institusi pelantikan Ketua Audit Negara di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Isu ini bukan sekadar perbezaan pandangan politik atau polemik kepartian, sebaliknya melibatkan prinsip penghormatan terhadap institusi raja dan institusi negara yang menjadi tunjang kepada sistem pemerintahan berperlembagaan di Malaysia.

“Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota menuntut Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man agar menarik balik kenyataan tersebut dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka. Tindakan ini penting demi memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi negara serta menghormati peranan Ketua Audit Negara sebagai badan semak dan imbang yang bebas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Nik Mohd. Ridzuan berkata, sebarang kenyataan yang bersifat mengelirukan atau merendahkan institusi negara hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat dan melemahkan sistem tadbir urus yang kita pertahankan bersama.

Tegasnya, Laporan Ketua Audit Negara bukan bahan propaganda politik dan untuk diputar belit demi kepentingan pihak tertentu.

“Jika laporan institusi bebas pun sanggup dipersoalkan tanpa asas, maka jelas wujud cubaan melarikan diri daripada akauntabiliti. Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kebenaran, integriti dan maruah institusi negara.

“Rakyat berhak tahu siapa yang berani mempertahankan ketelusan, dan siapa yang cuba melemahkannya dah hanya tahu menyalahkan sahaja,” katanya.

Jumaat lalu, Tuan Ibrahim pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini dilaporkan sebagai mendakwa, Ketua Audit Negara tidak faham dalam penyediaan Laporan Ketua Audit Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN