Lapan 'scammer' warga China didakwa di Mahkamah Temerloh - Utusan Malaysia

Lapan ‘scammer’ warga China didakwa di Mahkamah Temerloh

LAPAN warga China yang didakwa terbabit sindiket penipuan pelaburan dibawa polis ke Mahkamah Majistret Temerloh di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Lapan warga China termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas pertuduhan berkomplot menjalankan penipuan pelaburan tidak wujud.

Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin dan semua tertuduh mengangguk faham. Mereka ialah Tan Zhenkun, 29; Zhang Dongdong, 33; Xu Leilei, 39; Tian Fuchao, 27; Chu Yuzhang, 28; Wang Chong, 37; Shi Guoting, 23; dan Bai Yanyun, 30, yang ditahan dalam serbuan di GS Bera Hotel, Taman Anggerik Indah, Triang pada pukul 2.15 petang, 27 November lalu.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya. Mereka turut didakwa atas kesalahan tinggal lebih masa selepas pas khas tamat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, memperuntukkan denda minimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Tan Chiew King, kesemua tertuduh diwakili peguam Carenjit Kaur Mann yang memohon tarikh sebutan dibawa lebih awal kepada 5 Januari 2026, berbanding 20 Januari 2026. Mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Sarah Aqilah Lokman, memaklumkan tiada permohonan rayuan jaminan dibuat pihak pembelaan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan bagi pertuduhan pakatan jahat, manakala jaminan bagi kes imigresen mengikut ketetapan undang-undang.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Januari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN