KUALA LUMPUR: Kerajaan dinasihat melantik pakar profesional bagi mengurus masalah mental dalam kalangan kanak-kanak, berbanding memberikan tanggungjawab itu kepada guru di sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin berkata, pengurusan kesihatan mental kanak-kanak perlu dilakukan oleh Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).
Menurut beliau, pengurusan kesihatan mental kanak-kanak tidak boleh lagi bergantung kepada guru kerana mereka bukan tergolong skop profesionalisme golongan tersebut.
Malah, katanya, guru kini sudah pun terbeban dengan tugas hakiki mereka iaitu mendidik murid-murid.
“Oleh itu, jawatankuasa mengesyorkan supaya NCEMH di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) menjadi agensi kebangsaan yang bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan mental kanak-kanak di Malaysia.
“Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pula dijadikan sebagai rakan strategik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan berkaitan Penyata Jawatankuasa Berhubung Keselamatan Digital dan Kesihatan Mental Kanak-Kanak Malaysia.
Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, kerajaan juga disyorkan untuk memperkasa NCEMH dengan memperbanyakkan perjawatan pakar perubatan dan pegawai psikologi, selain meningkatkan peruntukan kepada pusat tersebut.
Katanya, NCEMH disaran untuk melatih kaunselor dan guru-guru yang berkaitan di sekolah untuk mengenalpasti kes-kes ketagihan digital dan seks, gangguan permainan internet (IGD), gangguan kebimbangan sosial (SAD) serta cabaran-cabaran kesihatan mental yang perlu menjalani intervensi awal.
Jelasnya, ia bagi memastikan guru-guru boleh merujuk kanak-kanak yang berhadapan masalah berkaitan kepas institusi KKM.
“Pusat itu juga disyor menjalankan analisis dan pemantauan trend kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan menyediakan pelaporan berkala. Ia termasuk menjalankan kempen kesedaran mengenai kesihatan mental secara sistematik di sekolah,” katanya.
Beliau turut mengesyorkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengkaji semula semula kesesuaian bahan pendidikan karakter dan mempertimbang untuk menggantikannya dengan pembelajaran emosi sosial.
Katanya, ia adalah syor seperti dicadangkan oleh ahli akademik yang menjalankan kajian psikososial kanak-kanak dan pihak Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula disyor menggandakan peruntukan kewangan dengan segera bagi meningkatkan kapasiti pasukan pemantauan laman web termasuk penggunaan teknologi terkini dan meningkatkan kepakaran sumber manusia yang sewajarnya.
“MCMC juga perlu menyalurkan dana CSR (tanggungjawab sosial korporat) kepada NCEMH untuk mencegah dan mengurus masalah kes ketagihan digital akibat penggunaan internet berlebihan.
“Memandangkan pembabitan ibu bapa amat kritikal dalam memastikan keselamatan digital terhadap kanak-kanak, jawatankuasa mencadangkan supaya MCMC menjalankan kempen kesedaran keselamatan digital secara besar-besaran, khususnya bekerjasama dengan KPM untuk menjalankan program literasi digital.
“Ia perlu berstruktur khusus untuk ibu bapa dan memastikan setiap sekolah melaksanakan sesi praktikal penetapan ‘parental control’ yang mana ibu bapa dibimbing secara langsung untuk mengaktifkan kawalan keselamatan pada peranti anak masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN










