WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesa Jabatan Kehakiman (DoJ) untuk ‘mengaibkan’ anggota Demokrat yang didakwa bekerjasama dengan Jeffrey Epstein, selepas jabatan itu mula meneliti berjuta-juta dokumen berkait pesalah seks itu.
DoJ mula mengeluarkan rekod minggu lalu daripada siasatan terhadap Epstein, seorang ahli kewangan kaya yang meninggal dunia di penjara New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan memperdagangkan gadis bawah umur untuk tujuan seks.
Pendedahan terbaharu pada 23 Disember mengandungi banyak rujukan kepada Trump, termasuk dokumen memperincikan penerbangan yang diambilnya dengan jet peribadi Epstein.
Trump pernah menjalin persahabatan dengan Epstein, namun menjauhkan diri selepas jenayah lelaki itu terbongkar, dan dilihat enggan membincangkan kes berkenaan walaupun terdapat sokongan kuat dalam Parti Republikan untuk ketelusan penuh mengenai rakan sekutu mendiang tersebut.
“Sekarang 1,000,000 lagi halaman berkaitan Epstein ditemukan. DOJ dipaksa menghabiskan seluruh masanya untuk penipuan yang didalangi Demokrat ini.
“Demokratlah yang bekerjasama dengan Epstein, bukan Republikan. Dedahkan semua nama mereka, malukan mereka, dan kembali membantu negara kita!,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social miliknya pada 26 Disember.
Trump tidak menyatakan anggota Demokrat yang mungkin dinamakan dalam fail berkenaan.
DOJ gagal memenuhi tarikh akhir pada 19 Disember untuk mengeluarkan sepenuhnya fail tersebut, walaupun terdapat undang-undang yang mewajibkannya berbuat demikian.
Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche, sebelum ini menyalahkan kelewatan itu kepada keperluan menyunting secara teliti identiti mangsa Epstein.
DOJ turut mempertahankan Trump dengan menyatakan fail-fail berkenaan mengandungi ‘dakwaan tidak benar dan bersifat sensasi’ terhadapnya, yang dikemukakan kepada FBI sebelum pilihan raya 2020, menyaksikan beliau memperoleh penggal kedua sebagai presiden.
Bagaimanapun, jabatan itu tidak menjelaskan dakwaan mana yang dianggap palsu.
“Sekiranya dakwaan tersebut mempunyai walau sedikit kredibiliti, ia sudah tentu diperalatkan terhadap Presiden Trump sejak awal lagi,” tambah jabatan berkenaan ketika itu.- AFP










