Kerajaan teliti cadangan bina hospital pekerja

Kerajaan teliti cadangan bina hospital pekerja

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia untuk meneliti cadangan pembinaan hospital pekerja seperti yang dibina di Turkiye dan beberapa negara eropah lain.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pada ketika ini pihaknya melihat jaringan hospital kerajaan di seluruh negara berupaya menampung rawatan terhadap pekerja.

“Hospital kerajaan di negara ini juga saya kira adalah untuk hospital pekerja… tiada masalah. Namun mungkin dalam keadaan ini kita ambil sebagai satu cadangan.

“Saya berasa hospital sedia ada jaringannya mampu memberi perkhidmatan termasuk kepada golongan pekerja,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dibangkitkan Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib (PN-Maran).

Sementara itu, Steven Sim berkata, Kementerian Sumber Manusia berhasrat membina pusat rehabilitasi pekerja di setiap negeri, namun ia bergantung kemampuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Jelasnya, Perkeso mempunyai dua pusat rehabilitasi iaitu di Melaka dan Perak manakala sebuah lagi sedang dalam pembinaan di Terengganu dan di Pulau Pinang sedang dalam perancangan.

“Perkeso juga mempunyai empat buah Pusat Satelit Rehabilitasi iaitu di Shah Alam, Tanjung Pelepas, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Kita juga mempunyai 261 panel Pusat Rehabilitasi Perkeso di seluruh negara bagi menampung pesakit atau orang berinsurans untuk mendapatkan rawatan rehabilitasi,” katanya.

Tambahnya, lebih 25,000 pesakit dalam kalangan pekerja sudah dirawat sejak 2014 di pusat rehabilitasi tersebut, dengan 70 peratus daripadanya berupaya kembali ke alam pekerjaan.

Katanya, 30 peratus lagi memilih untuk bersara walaupun ada dalam kalangan mereka sudah pulih dan mampu berfungsi secara normal. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN