Kenyataan Trump buat Thailand, Kemboja saling keliru

Kenyataan Trump buat Thailand, Kemboja saling keliru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendabik dada mendakwa dirinya berjaya menyelesaikan ‘lapan peperangan’, sambil memaklumkan Thailand kini ‘mula menunjukkan perkembangan’ susulan perhatian baharu terhadap ketegangan Thailand-Kemboja.

“Saya menyelesaikan lapan peperangan dan Thailand mula menunjukkan perkembangan… mereka mula dengan Kemboja, kemudian bermula semula.

“Tetapi saya rasa Setiausaha Negara, Marco Rubio, sudah mengurusnya dengan baik. Terdapat banyak kebencian antara kedua-dua pihak itu,” katanya kepada media AS semalam.

Kenyataan Trump mencetuskan gelombang laporan media Kemboja yang mendakwa Trump menuduh Thailand memulakan semula pertikaian, walaupun pegawai Bangkok menolak tafsiran itu, menyatakan komen berkenaan diambil di luar konteks.

Menurut laporan media Kemboja, Trump merujuk situasi Thailand Kemboja sambil menekankan apa yang digambarkannya sebagai peranan AS dalam mengantara konflik bersenjata itu.

Beliau dipetik sebagai mencadangkan Thailand yang memulakan permusuhan baharu.

Bagaimanapun, transkrip penuh menunjukkan kenyataannya dibuat dalam konteks mempromosikan diplomatik Washington dan bukan menuding jari.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar, Maratee Nalita Andamo menegaskan, Thailand memberikan maklumat dan bukti kepada AS serta beberapa negara lain.

Beliau menambah, perbualan terkini antara Perdana Menteri, Anutin Charvirakul dan Trump, kedua-duanya bersetuju perbincangan lanjut akan diteruskan di peringkat menteri luar.

“Thailand diserang dan diceroboh. Apa yang kami lakukan adalah bertindak bagi melindungi kedaulatan.

“Kesemua negara yang terlibat menyatakan mereka bersikap neutral,” kata Anutin dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Jeneral Nattaphon Narkphanit berkata, konfrontasi tersebut melangkaui bidang ketenteraan, yang melibatkan serangan politik, diplomatik dan sosio-psikologi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN