PETALING JAYA: Pemimpin Kemboja dan Thailand mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk terus berunding bagi meredakan ketegangan yang sedang meletus di sempadan kedua-dua negara ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Thailand, Anutin Charnvirakul bagi membincangkan pergolakan antara kedua-dua negara berjiran.
“Saya menghargai keterbukaan serta kesediaan kedua-dua pemimpin untuk terus berunding demi meredakan ketegangan dan mengelakkan sebarang salah anggap yang boleh memburukkan keadaan.
“Walaupun belum ada penyelesaian tuntas dicapai, usaha diplomasi berterusan telah memastikan tiada insiden yang lebih serius berlaku dalam beberapa jam yang kritikal ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya semalam.
Perdana Menteri berkata, dialog secara aman dengan penyelesaian berasaskan undang-undang antarabangsa serta kerjasama serantau penting demi menjaga kestabilan dan keselamatan rantau ini.
“Malaysia akan terus mendukung dialog aman, penyelesaian berasaskan undang-undang antarabangsa, serta kerjasama serantau demi menjaga kestabilan dan keselamatan rantau kita bersama,” katanya.
Isnin lalu, ketegangan antara Kemboja-Thailand kembali memuncak apabila seorang tentera Thailand maut manakala beberapa lagi cedera dalam pertempuran sempadan kedua-dua negara.
Pertempuran didakwa tercetus selepas anggota tentera Kemboja menembak pasukan Thailand awal pagi Isnin di wilayah Ubon Ratchathani.
Pertempuran baharu tercetus di daerah Kantharalak, Si Sa Ket, memaksa penduduk berhampiran sempadan di Buri Ram, Surin, Si Sa Ket dan Ubon Ratchathani berpindah ke pusat perlindungan.
Sementara itu, Anutin dalam hantaran di Facebook miliknya kelmarin menegaskan bahawa pendirian Thailand kekal iaitu tiada gencatan senjata membabitkan ketegangan terbaharu tersebut.
“Pendirian Thailand kekal status quo. Tiada gencatan senjata,” katanya.
Bagaimanapun, mengambil pendekatan sama, Singapura melalui Kementerian Luar Negeri (MFA) menggesa Thailand dan Kemboja mengawal tindakan masing-masing dan segera menyelesaikan ketegangan melalui dialog keamanan.
“Singapura amat bimbang dengan penyambungan semula pertempuran di sempadan Thai-Kemboja serta laporan korban di kedua-dua pihak.
“Kami menyeru kedua-dua negara mengekalkan kawalan diri dan menyelesaikan perbezaan melalui perbincangan serta rundingan, selaras semangat dan prinsip Deklarasi Bersama,” katanya.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara kembali tercetus sehingga membawa kepada konfrontasi ketenteraan di wilayah utara Kemboja sejak Julai lalu.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mengambil tanggungjawab untuk membawa kedua-dua negara ke meja rundingan sehingga Thailand dan Kemboja bersetuju menandatangani perjanjian gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu.
Kedua-dua kerajaan kemudiannya memuktamadkan perjanjian damai dengan menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Malaysia pada 26 Oktober lalu.
Majlis itu turut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta seluruh pemimpin ASEAN yang turut serta menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47. – UTUSAN










