Kemboja dakwa Thailand bom bandar kasino Poipet

Kemboja dakwa Thailand bom bandar kasino Poipet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Kemboja mendakwa tentera Thailand mengebom bandar kasino Poipet, lintasan utama antara kedua-dua negara, ketika kuasa asing memberi tekanan agar kedua-dua pihak menghentikan pertempuran di sempadan.

Pasukan Thailand menjatuhkan dua bom di kawasan perbandaran Poipet, wilayah Banteay Meanchey, sekitar pukul 11 pagi waktu tempatan pada Khamis, menurut Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu kenyataan.

Thailand setakat ini belum mengulas mengenai serangan ke atas Poipet, sebuah hab kasino yan sibuk dan popular dalam kalangan kaki judi Thailand.

Pertempuran yang kembali tercetus antara negara jiran Asia Tenggara itu pada Disember mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang di Thailand dan 17 orang di Kemboja, selain menyebabkan kira-kira 800,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pegawai.

Konflik tersebut berpunca daripada pertikaian wilayah berkaitan penandaan sempadan era kolonial sepanjang 800 kilometer, serta beberapa runtuhan kuil purba yang terletak di kawasan sempadan.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana mencetuskan pertempuran terbaharu itu, dengan masing-masing mendakwa bertindak mempertahankan diri dan bertukar-tukar tuduhan mengenai serangan terhadap orang awam.

Thailand pada 16 Disember berkata antara 5,000 hingga 6,000 warga Thailand masih terkandas di Poipet selepas Kemboja menutup lintasan sempadan daratnya dengan negara jiran itu.

Kementerian Dalam Negeri Kemboja berkata, penutupan sempadan tersebut merupakan satu ‘langkah perlu’ bagi mengurangkan risiko terhadap orang awam ketika pertempuran masih berterusan, sambil menambah perjalanan udara kekal sebagai pilihan bagi mereka yang ingin keluar.

Sekurang-kurangnya empat kasino di Kemboja mengalami kerosakan akibat serangan Thailand, menurut kementerian berkenaan minggu ini.

Lima hari pertempuran antara Kemboja dan Thailand pada Julai lalu telah mengorbankan puluhan nyawa sebelum satu gencatan senjata dirundingkan oleh Amerika Syarikat, China dan Malaysia, namun perjanjian itu kemudian dilanggar dalam tempoh beberapa bulan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang berulang kali campur tangan dalam konflik berpanjangan itu sepanjang 2025, mendakwa minggu lalu bahawa kedua-dua negara telah bersetuju dengan satu gencatan senjata baharu.

Bagaimanapun, Bangkok menafikan sebarang gencatan senjata telah dipersetujui, dan pertempuran menggunakan artileri, kereta kebal, dron serta jet pejuang terus berlaku setiap hari sejak satu pertempuran kecil di sempadan pada awal Disember mencetuskan pusingan konflik terbaharu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN