RAUB: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun berdepan detik cemas apabila tertinggal di hadapan Restoran Azmi Stim, di sini tengah hari semalam akibat salah faham keluarganya.
Mangsa ditemukan seorang lelaki ketika berkeliaran di tempat letak kereta di hadapan restoran terbabit. Difahamkan, setelah menunggu kira-kira 45 minit tanpa kehadiran ahli keluarga, lelaki berkenaan membawa kanak-kanak itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.
Ketua Polis Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, polis berjaya menghubungi keluarga kanak-kanak itu dan ibu bapanya hadir ke balai pada pukul 4 petang untuk mengambil semula anak mereka.
“Menurut ibu bapa kanak-kanak tersebut, mereka menaiki dua kenderaan dari Johor Bahru ke Tersan, Dong, di sini semalam. Selepas selesai urusan di Dong, keluarga itu singgah di Restoran Azmi Stim pada pukul 12 tengah hari untuk makan tengah hari. Namun, berlaku salah faham antara ahli keluarga semasa menaiki kenderaan dan menyebabkan anak mereka tertinggal di restoran berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Shahril berkata, setibanya di Kuala Lumpur, ibu kanak-kanak terbabit menghubungi kakaknya yang menaiki kenderaan lain bertanya keberadaan anak mereka.
“Ketika itu barulah ibu bapa kanak-kanak itu sedar bahawa anak mereka tertinggal di Restoran Azmi Stim. Pasangan berkenaan kemudiannya bertindak menghubungi restoran dan dimaklumkan oleh pekerja restoran bahawa anak mereka sudah diserahkan ke Balai Polis Raub,” katanya. – UTUSAN










