KOTA BHARU: Kediaman penduduk dan premis perniagaan serta kerajaan yang tidak dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) menjadi sasaran perompak untuk dipecah masuk.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia hasil kajian dan dapatkan maklumat sejak Januari hingga November lalu yang diterima pihaknya.
Katanya, sebanyak 403 jumlah kes pecah masuk kediaman dan premis yang dilaporkan kepada polis sepanjang tempoh tersebut.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 308 kes melibatkan kediaman atau premis yang tidak mempunyai CCTV.
“Baki 95 kes itu melibatkan rumah dan premis mempunyai CCTV,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, pemilik kediaman atau premis yang belum berbuat demikian supaya segara memasang CCTV bagi mengelak kejadian jenayah daripada berlaku.
Katanya, CCTV yang dipasang perlulah berkualiti agar dapat membantu siasatan pihak berkuasa.
Mohd. Yusoff berkata, hasil semakan yang dibuat, terdapat lebih kurang 1,984 buah premis yang mempunyai CCTV di Kelantan.
Katanya, ia meliputi premis kesihatan, institusi pendidikan, pejabat pentadbiran, premis perniagaan, masjid, institusi kewangan, stesen minyak dan sebagainya.
Mohd. Yusoff turut menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT)
supaya meningkatkan jumlah pemasangan CCTV bagi mengekang kes jenayah.-UTUSAN










