PETALING JAYA: Karnival Sawah Tanjung Karang yang dianjurkan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) mendapat sambutan dan penyertaan menggalakkan daripada orang ramai.
Pengarah UCTC UPM, Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad berkata, penganjuran karnival itu menerima sambutan khususnya daripada penduduk setempat dan berjaya mengeratkan hubungan antara universiti dengan komuniti luar bandar.
“Karnival ini bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi pertanian dan produk tempatan malah berjaya menghubungkan masyarakat dengan kepakaran universiti dalam suasana santai dan mesra keluarga.
“Karnival dua hari ini menampilkan komitmen UPM dalam memacu transformasi komuniti melalui pendekatan pendidikan, keusahawanan dan kebudayaan sejajar dengan peranan universiti sebagai pemacu pembangunan lestari masyarakat,” katanya semalam.
Karnival tersebut menyajikan pengunjung dengan gabungan aktiviti tradisional dan makanan warisan seperti pertandingan gusti lengan gaya kampung serta pertandingan makanan warisan bertemakan masakan Jawa.
Beberapa aktiviti interaktif seperti kuiz agro dan cabutan bertuah turut dianjurkan sekali gus menghidupkan suasana di sekitar tapak karnival dan menggalakkan pengunjung untuk terus aktif sepanjang hari.
Khairulmazmi berkata, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKKPP) juga menganjurkan sesi pembuatan jem nanas diikuti dengan demonstrasi masakan tempatan oleh Pertubuhan Jawa Parlimen Tanjong Karang.
“Majlis penutup turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan, penyerahan sijil kepada agensi dan rakan kerjasamas serta cabutan bertuah terakhir sebagai penutup tirai yang meriah,” katanya.-UTUSAN.










