Kanak-kanak 9 tahun bermain ombak di Pantai Kemayang ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 9 tahun bermain ombak di Pantai Kemayang ditemukan lemas

MAYAT kanak-kanak yang bermain ombak di Pantai Kemayang, Bachok, Kelantan ditemukan lemas pagi tadi-IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki bermain ombak
di Pantai Kemayang di sini semalam bertukar tragedi apabila dia temukan lemas hari ini.

Mayat Muhamad Irfan Mohd. Afendi, 9, ditemukan orang awam di persisiran Pantai Cerang Laut di sini pada pukul 10.48 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat kanak-kanak berkenaan ditemukan pada jarak satu kilometer dari lokasi asal dia dikhuatiri hilang.

Katanya, mayat mangsa kemudian telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Seramai 42 anggota pasukan penyelamat termasuk bomba, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) telah terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Sebelum itu, pada jam 9.37 pagi, anggota bomba dan polis telah melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan dua buah bot secara ‘water surface’ di lokasi kejadian. Bagaimanapun, mayat mangsa telah ditemukan oleh orang awam pada pukul 10.48 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Online semalam melaporkan, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak ketika sedang mandi di Pantai Kemayang di sini petang tadi.

Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muhamad Irfan Mohd. Afendi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, sepasukan anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) telah ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.15 malam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN