Jaring perlindungan bangunan terbakar di Hong Kong tidak penuhi kod keselamatan

Jaring perlindungan bangunan terbakar di Hong Kong tidak penuhi kod keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong pada Isnin memaklumkan jaring perlindungan yang menutupi perancah di bangunan terbakar dalam insiden kebakaran besar minggu lalu didapati tidak memenuhi kod rintangan api.

Setiausaha Keselamatan Hong Kong, Chris Tang berkata, sampel jaring diambil dari pelbagai lokasi di tujuh bangunan yang musnah dalam kebakaran itu.

Tujuh sampel didapati tidak menepati piawaian manakala ujian awal sebelum ini menunjukkan jaring berkenaan memenuhi standard, namun penyiasat tidak dapat memeriksa keseluruhan ketika kebakaran masih marak.

“Sekarang api dipadamkan, kami dapat memasuki kawasan yang sebelum ini sukar dicapai untuk mengambil sampel,” katanya kepada pemberita.

Polis pada Isnin turut memaklumkan angka kematian meningkat kepada 151 orang, dengan lebih 40 lagi masih hilang.

“Setakat jam 4 petang hari ini, jumlah kematian yang disahkan ialah 151. Kami tidak menolak kemungkinan angka ini akan terus meningkat.

“Sesetengah mayat telah bertukar menjadi abu, justeru kami mungkin tidak dapat mengesan semua individu yang masih hilang,” kata jurucakap polis, Tsang Shuk-yin, dalam satu sidang media.

Sumbangan untuk mangsa terselamat mencecah HK$900 juta (RM477 juta) setakat Isnin, menurut pihak berkuasa, ketika orang ramai terus mengunjungi lokasi tugu peringatan sementara berhampiran blok bangunan yang sudah hangus, meletakkan bunga, kad ucapan dan penghormatan lain.

“Apabila sesuatu berlaku, kita saling membantu,” kata Loretta Loh selepas menzahirkan penghormatannya di lokasi kejadian.

Kebakaran itu tercetus pada petang Rabu di kompleks Wang Fuk Court di kawasan pinggir bandar Tai Po. Ia merebak ke tujuh daripada lapan menara pangsapuri yang menempatkan kira-kira 4,600 penduduk.

Sepanjang hujung minggu, anggota Unit Pengenalpastian Mangsa Bencana Polis Hong Kong menjalankan pemeriksaan di empat bangunan tersebut.

Pada Isnin, pihak berkuasa berkata pasukan teknikal sedang menilai tahap keselamatan bangunan lain, termasuk blok yang mula terbakar dan mengalami kerosakan paling teruk.

Dana sumbangan orang ramai yang mencecah jutaan dolar, serta HK$300 juta (RM159 juta) dana permulaan daripada kerajaan, akan digunakan untuk membantu mangsa membina semula kediaman mereka dan menyediakan sokongan jangka panjang, menurut pegawai tempatan.

Kerajaan turut memberikan bantuan tunai kepada mangsa terselamat untuk menampung perbelanjaan, termasuk kos pengebumian dan sedang mengatur penempatan perumahan baharu untuk mereka. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN