‘Jangan curah minyak ke api yang sedang marak’ - Shahidan

‘Jangan curah minyak ke api yang sedang marak’ – Shahidan

SHAHIDAN Kassim ketika ditemui di kediamannya di Jejawi, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Setiap ahli Pas khususnya wakil rakyat dan mereka yang mempunyai jawatan di dalam parti diingatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan melabel atau menuduh di media sosial yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan seperti itu diibarat seperti ‘mencurah minyak ke api yang sedang marak’ dalam isu pengguguran keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan peletakan jawatan Menteri Besar.

Beliau berkata, budaya Pas lebih mengutamakan pendekatan bermesyuarat, bermuzakarah dan bersatu dalam sebarang perkara.
Katanya, Pas juga mempunyai panduan jelas berdasarkan kepada kepimpinan parti dan kenyataan rasmi presiden malah krisis itu perlu dihadapi dengan sabar, berhemah dan berlandaskan Perlembagaan.

“Sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan ibarat ‘mencurah minyak ke api yang sedang marak’ perlu dielakkan. Dari sudut agama dan akhlak, perbuatan tersebut juga adalah tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan sebelum ini mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga ADUN tersebut terhenti keahlian Pas.

Ia susulan tindakan tiga ADUN Pas tersebut bersama lima yang lain dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa telah bertemu Raja Perlis bagi menyerahkan akuan bersumpah menyatakan penolakan sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Mohd. Shukri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar dengan surat peletakan jawatan tersebut telah dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Shahidan yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri berkata, fokus utama parti pada ketika ini adalah bagi menenangkan keadaan, memperkukuhkan perpaduan dan melakukan persiapan menghadapi sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU).

“Saya sendiri bertemu rakyat hampir setiap malam bagi menjelaskan keadaan sebenar dan membetulkan persepsi akibat maklumat tidak sahih di media sosial,” katanya

Shahidan berkata, pemilihan Menteri Besar merupakan hak mutlak Raja Perlis dan nama dikemukakan kepada baginda hanyalah untuk dijadikan sebagai panduan.

“Jika Tuanku Raja Perlis berpendapat seseorang itu mendapat sokongan majoriti, baginda berhak untuk membuat keputusan. Raja Perlis akan bertindak mengikut Perlembagaan iaitu dengan melantik seseorang yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN