PETALING JAYA: UMNO melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.
Keputusan itu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan itu dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan parti.
Katanya, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah pula disandang oleh Datuk Mohd. Hasnal Ayub manakala jawatan Setiausaha UMNO Sabah yang ditinggalkan Jafry diambil alih oleh Samasuddin Yusop.
“Pelantikan ini bertujuan memastikan kesinambungan pentadbiran, memperkukuh penyelarasan parti serta mengkoordinasikan gerak kerja UMNO di Sabah secara lebih tersusun dan berkesan.
“UMNO menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti untuk memberikan sokongan penuh kepada barisan kepimpinan baharu ini demo memastikan UMNO dapat terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan mendukung Kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jafry merupakan wakil UMNO dalam kerajaan Negeri Sabah yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau memegang portfolio sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.-UTUSAN.










