TEBING BARAT: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan negara haram itu akan melabur AS$110 bilion (RM445 bilion) dalam tempoh sedekad untuk membangunkan industri senjata bebasnya sendiri.
Sejumlah besar peralatan ketenteraan Israel kini diperoleh daripada Amerika Syarikat (AS), hasil perjanjian kerjasama pertahanan jangka panjang antara kedua-dua negara sekutu itu.
Sumber ketenteraan Israel semakin terjejas selepas dua tahun perangnya dengan musuh di Asia Barat, ketika beberapa negara menghentikan penjualan senjata dan mengenakan sekatan susulan pembunuhan beramai-ramai rejim di Gaza.
“Saya meluluskan sejumlah 350 bilion shekel untuk tempoh sedekad akan datang bagi membangunkan industri senjata Israel.
“Kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pihak, walaupun sekutu. Pemikir terbaik dalam industri pertahanan kami sedang berusaha membangunkan senjata yang akan menjamin kelebihan Israel di medan perang pada masa akan datang,” katanya berucap dalam majlis di pangkalan udara di selatan Israel semalam.
Menurut Kongres AS, Washington menyediakan AS$3.3 bilion (RM13.3 bilion) kepada Israel dalam bentuk dana ketenteraan dan AS$500 juta (RM2 bilion) bagi kerjasama pertahanan peluru berpandu pada 2025.
Namun, pemimpin Israel menunjukkan niat mereka untuk beralih daripada pembekal asing.
Dalam satu ucapan kontroversi pada September, Benjamin Netanyahu mendakwa Israel semakin terasing dan perlu mengamalkan pendekatan ‘super-Sparta’.
Susulan reaksi negatif terhadap kenyataan tersebut, pemimpin Israel itu kemudian menjelaskan beliau merujuk kepada industri pertahanan, dan negara perlu lebih bergantung pada diri sendiri bagi mengelakkan kemungkinan gangguan bekalan.
Dalam ucapan semalam, Netanyahu mendakwa pembangunan industri senjata negara akan meningkatkan keselamatan Israel.
“Kami menetapkan status kami sebagai kuasa serantau, dan dalam beberapa bidang, sebagai kuasa global. Ini menarik lebih banyak negara kepada kami. Keamanan dijalin dengan yang kuat, bukan yang lemah,” katanya.
Menurut data kerajaan, pada 2026 Israel akan memperuntukkan kira-kira 16 peratus daripada bajet awam untuk pertahanan, sekitar AS$35 bilion daripada bajet keseluruhan AS$208 bilion (RM841 bilion).
Sebelum perang Gaza tercetus pada Oktober 2023, bajet pertahanan negara itu sekitar AS$20.4 bilion (RM82.5 bilion).- AFP










