GENEVA: Israel didapati mempunyai dasar negara de facto yang membenarkan penyeksaan terancang dan meluas terhadap rakyat Palestin, menurut laporan terbaharu Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penyeksaan.
Laporan PBB diterbitkan pada hari sama tiga anggota polis sempadan Israel dibebaskan selepas soal siasat berhubung insiden tembakan jarak dekat terhadap dua rakyat Palestin tidak bersenjata di Jenin, yang tular baru-baru ini.
Jawatankuasa itu menegaskan pelaksanaan dasar harian Israel di wilayah Palestin yang diduduki secara keseluruhannya menyamai ‘penyeksaan’.
Dalam laporan dua tahun yang diterbitkan pada Jumaat itu, panel pakar bebas PBB menyatakan kebimbangan mendalam terhadap dakwaan penyeksaan sistematik, layanan tidak berperikemanusiaan serta budaya tanpa hukuman dalam kalangan pasukan keselamatan Israel sepanjang perang Gaza.
Jawatankuasa PBB mengenai Penyeksaan turut menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan berulang melibatkan kes dipukul teruk, serangan anjing, kejutan elektrik, dilemaskan dalam air, penggunaan posisi tekanan berpanjangan serta keganasan seksual terhadap tahanan Palestin.
Laporan pemantauan berkala terhadap negara-negara yang meratifikasi Konvensyen Menentang Penyeksaan PBB juga mendapati, tahanan Palestin kerap dihina, termasuk dipaksa bertindak seperti haiwan atau dikencing, dinafikan rawatan perubatan asas serta digari secara berlebihan hingga mengakibatkan amputasi anggota badan.
Panel 10 pakar bebas PBB turut memberi amaran terhadap penggunaan menyeluruh undang-undang ‘pejuang tidak sah’ oleh Israel yang digunakan untuk membenarkan penahanan berpanjangan tanpa bicara terhadap ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin.
Menurut angka terkini daripada kumpulan hak asasi Israel, B’Tselem, sehingga akhir September, 3,474 rakyat Palestin diletakkan di bawah tahanan pentadbiran tanpa proses perbicaraan.
75 rakyat Palestin meninggal dunia dalam tahanan sepanjang perang Gaza namun tiada seorang pun pegawai negara setakat ini dipertanggungjawabkan atau disiasat secara serius berhubung kematian tersebut.
Laporan PBB turut menekankan kadar tinggi kanak-kanak Palestin bawah usia 12 tahun yang ditahan tanpa pertuduhan atau dikenakan tahanan reman disumbat dalam kurungan bersendirian tanpa akses kepada pendidikan, sesuatu yang jelas bertentangan dengan piawaian antarabangsa.-AGENSI










