KUANTAN: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas penyerahan insentif yang julung kali diterima golongan berkenaan.
Timbalan Pengerusi JKKR Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, insentif tersebut bukti keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terhadap peranan jawatankuasa itu dalam menggerakkan pembangunan komuniti Felda dan memperkukuh kesejahteraan penduduk.
“Ini adalah kali pertama insentif seumpama ini diberikan kepada Timbalan Pengerusi JKKR. Ia memberi semangat baharu kepada kami untuk terus berkhidmat dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan insentif kepada Timbalan Pengerusi dan Setiausaha JKKR serta Gerakan Persatuan Wanita (GPW) bagi tahun 2025 di Yayasan Pahang di sini hari ini.
Razak menegaskan, insentif tersebut bukan sahaja bernilai daripada segi kewangan, malah menjadi pengiktirafan kepada usaha yang dilaksanakan oleh kepimpinan JKKR dalam menjaga kepentingan masyarakat setempat.
Menurutnya, JKKR berfungsi sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat Felda, khususnya dalam menyampaikan maklumat dasar, melaksanakan program pembangunan serta memastikan keselamatan kawasan terjamin.
“Dengan adanya insentif ini, kami lebih bersemangat untuk memperkukuh peranan JKKR sebagai tulang belakang komuniti Felda. Ia juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa mendengar suara akar umbi,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar insentif itu dapat diteruskan pada masa akan datang, sekali gus menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu perkhidmatan dan penglibatan aktif masyarakat dalam setiap program yang dianjurkan. – UTUSAN










