JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan membatalkan permit 20 syarikat yang didakwa menyebabkan kerosakan alam sekitar berskala besar, susulan banjir dan tanah runtuh dahsyat di Sumatera.
Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni berkata, pembatalan permit itu adalah sebahagian daripada tindak balas kerajaan terhadap bencana di wilayah terjejas.
“Terdapat kira-kira 20 syarikat yang meliputi kawasan seluas kira-kira 750,000 hektar, yang akan saya batalkan permitnya,” kata Raja Juli kepada wartawan di kompleks Parlimen di Jakarta, kelmarin.
Beliau berkata, ketua 12 syarikat lain yang disyaki menyumbang kepada bencana itu akan dipanggil untuk disoal siasat.
“Pasukan penguatkuasaan undang-undang kami sudah berada di lokasi, dan saya percaya tindakan tegas akan diambil dalam beberapa hari akan datang,” katanya.
Menteri itu juga memberi isyarat sedia dipecat sekiranya Presiden Prabowo Subianto menganggap beliau gagal melindungi hutan di Sumetara, yang menurut pakar terjejas akibat eksploitasi tanah.
“Itulah hak prerogatif Presiden, dan saya bersedia untuk dinilai. Tanggungjawab saya hanyalah untuk bekerja kuat,” katanya yang turut menyambut baik semua kritikan awam.
Banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat sepanjang dua minggu lalu, meragut lebih 800 nyawa serta merosakkan banyak infrastruktur awam.- AGENSI










