India berkas penyeludup paling dikehendaki di dunia

India berkas penyeludup paling dikehendaki di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seorang wanita yang didakwa sebagai antara penyeludup bahagian badan harimau paling dikehendaki di dunia, ditahan awal minggu ini di India.

Yangchen Lachungpa dituduh memainkan peranan penting dalam membina koridor pemerdagangan untuk menyeludup bahagian badan harimau secara haram dari negara itu.

Suspek sebelum ini tersenarai sebagai individu paling dikehendaki Polis Antarabangsa (Interpol), dan ikat jaminnya ditolak semasa perbicaraan di mahkamah pada Khamis lalu.

Pegawai hidupan liar menyifatkan penahanan Yangchen sebagai satu kejayaan besar dalam usaha membanteras pemburuan haram di India.

Lachungpa ditahan susulan operasi bersepadu antara Pasukan Serangan Harimau Negeri Madhya Pradesh dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar, menurut Kementerian Alam Sekitar pada Jumaat.

Menurut kementerian, suspek merupakan anggota utama rangkaian penyeludupan terancang yang mempunyai kaitan dengan Nepal, Tibet dan Bhutan, selain menjalankan operasi di beberapa bandar di India termasuk New Delhi.

Lachungpa sebelum ini ditahan pada 2017, tetapi menghilangkan diri selepas dibenarkan ikat jamin.

Bahagian badan harimau mendapat permintaan tinggi di China, di mana ia digunakan dalam perubatan tradisional.

Tabung Antarabangsa untuk Kebajikan Haiwan melaporkan terdapat 26 kes pemburuan haram harimau yang didokumentasikan pada 2024, berbanding 56 kes pada tahun sebelumnya.- BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN