Gangguan bekalan air di Kampung Pak Keral pulih sepenuhnya

Gangguan bekalan air di Kampung Pak Keral pulih sepenuhnya

SAIZOL Ismail (dua kanan) semasa mengadakan lawatan di tangki air Kampung Laut, Tumpat, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Gangguan bekalan air yang menghantui penduduk di Kampung Pak Keral di sini sebelum ini sudah pulih sepenuhnya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Saizol Ismail berkata, masalah itu berjaya diatasi selepas kerja-kerja membaik pulih tangki di telaga di Kampung Sedar selesai.

“Jadi gangguan bekalan sebagaimana tular sebelum ini telah berjaya diatasi.

“Cuma gangguan di Kampung Simpangan kita tunggu pembinaan Loji Pangkalan Nangka siap,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Lawatan Kerja ke Tapak Tangki Kampung Laut di sini hari ini.

Utusan Malaysia 11 November lalu melaporkan, penduduk Kampung Pak Keral di sini sekali lagi ‘mengamuk’ dengan bertindak menggantung kain rentang sebagai tanda protes selepas berdepan gangguan bekalan air yang semakin buruk.

Ini merupakan protes kali ke­dua yang dilakukan oleh penduduk selepas berdepan dengan masa­lah sama pada 16 Oktober lalu.

Sebanyak tujuh kain rentang tertera tulisan ‘AKSB (Air Kering Sapa Bila)’, ‘YAB MB rakyat susoh’, ‘YB Wan duk mana tu’, ‘YB Mumtaz air takdok ni’, “YB Dr Izani air takdok lagi ni’ dan ‘Selamat datang ke zon tiada air’, ‘AKSB kami dok air dale paip’ itu digantung di sepanjang jalan termasuk di laluan masuk Masjid Mukim Pak Keral.

Pemasangan kain rentang itu tular dalam laman sosial seterusnya menimbulkan perdebatan hangat warganet.

Dalam perkembangan lain, Saizol memberitahu, masalah gangguan bekalan air di beberapa buah kampung sekitar Kepulauan Tumpat akan selesai sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.

Katanya, sebanyak 400 akaun beberapa kampung sekitar Kepulauan Tumpat sudah selesai dengan kerja-kerja menaik taraf Tangki Kampung Laut.

“Hanya 100 akaun sahaja di Kampung Teluk Renjuna yang masih belum selesai. Masalah ini dijangka selesai pertengahan tahun depan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN