PASIR MAS: Polis hari ini merobohkan lagi empat lagi pangkalan haram yang menjadi lokasi penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Sungai Golok di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, ia melibatkan pangkalan haram Mat Roji 1, Mat Roji 2, Surau Lama dan Perdah.
Katanya, kerja-kerja perobohan pangkalan haram bermula 9.30 pagi sehingga 10.40 pagi itu turut disertai Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Kerja Raya.
“Proses merobohkan pangkalan haram berjalan lancar tanpa sebarang masalah atau gangguan daripada pihak lain.
“Operasi itu dijalankan bagi membanteras semua kegiatan jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, proses itu mengikut senarai dan peraturan yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak empat pangkalan haram dirobohkan masing-masing dua di Rantau Panjang dan dua di Tanah Merah setakat 8 November lalu.-UTUSAN










