KOTA KINABALU: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas merupakan antara 17 individu yang dilantik sebagai Pembantu Menteri.
ADUN tersebut adalah ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; ADUN Kukusan, Datuk Rina Zainal dan ADUN Bandau, Datuk Dr. Maijol Mahap serta ADUN Tulid, Jordan Jude Ellron.
Sebaliknya seorang lagi ADUN Bebas DUN Patagas iaitu Awang Ahmad Sah tidak dinamakan dalam mana-mana jawatan Kabinet Sabah.
Terdahulu, Majlis Angkat Sumpah seramai 17 Pembantu Menteri Negeri Sabah dan penyerahan watikah pelantikan kepada enam ADUN Lantikan berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.
Majlis penuh istiadat itu menyaksikan pelantikan Pembantu-Pembantu Menteri baharu merangkumi wakil dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan ADUN Bebas.
Antara ADUN GRS mengangkat sumpah Pembantu Menteri adalah ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; ADUN Pitas, Datuk Sri Ruddy Awah, ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih; ADUN Labuk, Datuk Samad Jamri; ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding dan ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum.
Turut disenaraikan ialah ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim; ADUN Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong; Datuk Ceasar Mandela Malakun (ADUN Dilantik); ADUN Tanjong Batu, Dr. Andi MD.Samsureezal.
Selain itu, ADUN Bingkor, Mohd. Ishak Ayub daripada Star juga disenaraikan sebagai Pembantu Menteri meskipun parti itu bukan sebahagian kerajaan campuran diterajui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Majlis turut menyaksikan pelantikan enam ADUN Lantikan iaitu Datuk Mohamed Razali Mohamad Razi; Datuk Abdul Kassim Razali; Datuk Ir. Chin Shu Ying; Ceasar Mandela Malakun; bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin dan Grace Lee Li Mei. – UTUSAN










