LONDON: Pakar kesihatan memberi amaran mengenai ‘virus yang membimbang’ sedang merebak ke seluruh dunia pada skala belum pernah berlaku sebelum ini, dengan ia didakwa boleh berkembang menjadi pandemik manusia tahun depan.
Virus tersebut merupakan strain selesema burung yang sangat mudah berjangkit, dikenali sebagai H5N1.
Sejak 2020, bentuk selesema burung itu menjangkiti berjuta-juta haiwan ternakan dan merebak ke mamalia pada kadar yang mengejutkan.
Di Amerika Syarikat (AS), virus tersebut kini ditemukan pada lembu tenusu. H5N1 mula tersebar dari Asia pada akhir 1990-an, namun dalam enam tahun kebelakangan ini, versi yang sukar dikawal dikenali sebagai clade 2.3.4.4b, merebak dari burung ke burung lebih cepat daripada jangkaan.
Kebimbangan itu timbul selepas virus tersebut dikesan di enam benua, termasuk kawasan seperti Antartika yang sebelum ini tidak pernah melaporkan kes selesema burung.
Menurut BBC Science Focus, lebih 80 juta ayam ternakan dijangkiti selesema burung di AS, dan lebih 1,000 ladang tenusu melaporkan wabak itu.
Kesannya, harga telur meningkat, manakala kerajaan AS membelanjakan lebih 881 juta pound (RM4.8 bilion) bagi membayar pampasan kepada petani atas kerugian yang dialami.
Meskipun kes melibatkan manusia masih terhad kepada 71 dengan dua kematian, penemuan H5N1 dalam lembu tenusu di AS mengejutkan ramai pihak.
Walaupun pempasteuran mampu memusnahkan virus, mereka yang bekerja di ladang tenusu dan penggemar susu mentah masih berisiko tinggi dijangkiti.
Lonjakan spesies yang tidak dijangka itu, selain bukti jangkitan pada beberapa haiwan, menunjukkan virus tersebut mampu menyesuaikan diri, berubah dan bermutasi.
“Ia kini menjadi masalah global. Sebagai penyakit haiwan liar, ia benar-benar di luar kawalan. Ia sedang merebak di seluruh dunia dan tiada kaedah pengekangan praktikal selain melihatnya menjangkiti populasi haiwan yang besar,” kata profesor virologi molekul Universiti Glasgow, Dr Ed Hutchinson.
Walaupun AS mempunyai berjuta-juta dos vaksin selesema burung, kebimbangan timbul kerana jangkitan pada manusia dan haiwan semakin meningkat, manakala perkongsian data yang sukar ditafsir boleh menyebabkan terlepas pandang tanda amaran awal.- AGENSI










