ROMPIN: Dua warga emas dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai berhampiran Kampung Ayau, Kuala Rompin di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.55 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin bergegas ke lokasi kejadian sejauh 13 kilometer.
“Sebaik tiba pada pukul 5.08 petang, pasukan bomba mendapati sebuah kereta terjunam ke dalam sungai dengan anggaran kedalaman 10 meter.
“Maklumat awal daripada ahli keluarga mangsa memaklumkan terdapat seorang lelaki dan seorang wanita warga emas berada dalam kereta tersebut dan dipercayai lemas,” kata jurucakap itu dalam kenyataannya di sini.
Menurut jurucakap itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan bot aluminium bomba dengan kaedah surface searching di permukaan sungai.
“Bantuan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) dari BBP Pekan turut diaktifkan bagi memperkukuh operasi. Seramai 10 anggota terlibat bersama aset logistik termasuk sebuah FRT, Dmex, EMRS dan bot aluminium,” kata jurucakap itu.
Setakat ini, operasi masih dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh pihak bomba. – UTUSAN










