KUANTAN: Taktik licik dua sindiket penipuan yang menjadikan kawasan luar bandar sebagai markas operasi akhirnya terbongkar apabila polis berjaya menumpaskan kegiatan mereka dalam dua serbuan berasingan di Bera dan Mentakab, baru-baru ini, melibatkan 13 suspek.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, serbuan pertama pada 27 November di sebuah hotel di Triang, Bera, menyaksikan lapan individu ditahan, termasuk enam lelaki dan dua wanita warganegara China berusia 21 hingga 39 tahun, dipercayai terlibat dalam skim pelaburan tidak wujud.
“Polis merampas 19 telefon bimbit dan dua komputer riba bernilai RM31,500. Sindiket ini menggunakan akaun palsu Facebook untuk memperdaya mangsa sebelum beralih ke aplikasi Telegram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini.
Yahaya berkata, dalam serbuan kedua pada 2 Disember lalu di Puncak Lestari Mentakab, Temerloh, polis menahan lima suspek, termasuk dua warganegara Malaysia dan tiga warganegara asing berusia 29 hingga 39 tahun, dipercayai menjalankan penipuan urusan penukaran mata wang asing tidak wujud.
“Barang rampasan termasuk 11 telefon bimbit, tujuh komputer riba, dua monitor, satu CPU, papan kekunci dan modem dengan nilai anggaran RM30,000. Siasatan awal mendapati semua suspek tinggal di premis itu sejak Julai 2025, memperoleh pekerjaan melalui Facebook dan laman web carian kerja, kemudian diarahkan ke lokasi melalui WhatsApp,” ujarnya.
Menurutnya, suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan menerima gaji bulanan RM2,500 hingga RM4,000 sebelum menipu warganegara China melalui aplikasi Telegram. – UTUSAN










