KOTA BHARU: Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bukti jelas parti itu tidak bersifat konservatisme agama dan menyinggung perasaan penganut agama lain sehingga menyebabkan parti bukan Islam yang tidak sehaluan dengan Perikatan Nasional (PN) sebagaimana dakwaan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Ketua Pemuda Pas Kelantan Mohd. Firdaus Mohamed Nawi berkata, parti itu merupakan satu-satu parti Islam yang membuka keahlian rasmi kepada bukan Islam sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh pihak lain di Asia Tenggara.
Katanya, kenyataan masyarakat Cina yang sudah sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas merupakan satu generalisasi yang kurang tepat.
“Pada saya ia tidak mengambil kira perubahan politik, sejarah hubungan antara parti Islam dan masyarakat bukan Islam, serta perkembangan semasa Malaysia.
“Jika benar masyarakat Cina secara total menolak Pas, maka tidak akan wujud sokongan yang pernah diberikan menerusi parti-parti Cina tertentu sepanjang era politik Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Firdaus memberitahu, hubungan masyarakat Cina dengan Pas bukan perkara asing dan ia sudah tercatat dalam sejarah politik negara sebelum ini.
Katanya, semasa Pas menguasai Kelantan dan Terengganu pada tahun 199, terdapat peningkatan undi Cina terutama di kawasan bandar parti itu yang membentuk kerjasama dengan PKR, DAP menerusi Barisan Alternatif (BA).
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, kenyataan bahawa pemimpin Pas mengeluarkan kenyataan “kontroversi” lalu menyebabkan masyarakat Cina menjauh adalah satu hujah selektif.
Katanya, dalam politik Malaysia, hampir semua parti pernah mengeluarkan kenyataan yang dianggap ekstrem atau menyinggung.
“DAP pernah dituduh anti-Melayu. MCA sendiri pernah mengeluarkan kenyataan yang dilihat meremehkan isu Bumiputera begitu juga dengan UMNO pernah membuat ucapan berkaitan perkauman secara terbuka.
“Namun tidak pula dinyatakan bahawa masyarakat menolak secara total parti-parti tersebut. Ini membuktikan bahawa naratif MCA terhadap Pas lebih bersifat politik bukan refleksi sebenar masyarakat Cina,” ujarnya.
Semalam media melaporkan, MCA menolak kemungkinan menyertai PN yang turut dinaungi parti Pas, kerana masyarakat Cina sukar menerima ideologi parti itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tindakan segelintir pemimpin PAS yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi, sekali gus menyerlahkan konservatisme agama dan menyinggung perasaan penganut agama lain menyebabkan parti bukan Islam tidak sehaluan dengan PN.-UTUSAN










