KOTA KINABALU: DAP Sabah menolak sebarang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini, susulan kekalahan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu menerima isyarat jelas yang mencerminkan krisis keyakinan serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan.
“Para pemimpin dan anggota yang terlibat dalam kempen amat peka terdapat ketidakpuasan yang meluas dalam kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen.
“Berikutan perbincangan dan penilaian dalaman, kami akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan berusaha bersama Perdana Menteri untuk mempercepat agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada malam tadi untuk membincangkan keputusan PRN Sabah.
Dalam mesyuarat tersebut, katanya, DAP Sabah turut membentangkan keputusan mereka kepada CEC untuk tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah.
“Termasuk jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah lantikan. Pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat Sabah dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.
DAP mencatat keputusan yang teruk dalam PRN kali ini apabila kalah di semua lapan kerusi yang ditandinginya, termasuk kerusi yang ditandingi oleh Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe. – UTUSAN










