Acara sukan tempur Coastal Combat 2026 tampil dengan kelainan apabila buat julung kalinya memperkenalkan sebuah program realiti eksklusif berteraskan Muay Thai, sekali gus menandakan evolusi baharu dalam penganjuran acara seni bela diri di Malaysia. Program ini bakal berlangsung di Desaru Coast, Johor pada 23 dan 24 Januari 2026.
Menerusi edisi terbaharu ini, Coastal Combat menghimpunkan petarung elit tempatan dan antarabangsa, dengan penyertaan istimewa ikon seni bela diri negara, Jihin “Shadow Cat” Radzuan. Selain kembali beraksi dalam gelanggang Muay Thai yang menjadi asas permulaan kerjayanya, Jihin turut menjadi peserta utama program realiti Muay Thai pertama seumpamanya di negara ini.
Walaupun kini dikenali sebagai atlet Mixed Martial Arts (MMA), Jihin memulakan perjalanan profesionalnya menerusi Muay Thai, termasuk mewakili Johor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan meraih pingat sebelum menceburi MMA secara kompetitif.
Penganjur Coastal Combat iaitu Boxxtomoi Asia, Nor Afandi Nor Hosni berkata, pihaknya komited membawa pembaharuan kepada penganjuran Muay Thai dengan menggabungkan unsur sukan, naratif penceritaan dan promosi pelancongan destinasi.
“Format ini belum pernah dilaksanakan di Malaysia. Penonton bukan sahaja akan menyaksikan pertarungan, tetapi turut mengikuti perjalanan peribadi atlet, disiplin latihan serta pengalaman budaya mereka sepanjang berada di Pantai Desaru,” katanya.
Menurutnya, usaha ini bukan sekadar memperkaya produk hiburan, malah membawa nilai ekonomi kepada negeri Johor dalam usaha merancakkan pelancongan sukan.
Di samping itu, Coastal Combat 2026 turut melancarkan sebuah program realiti berformat pasukan yang membariskan 20 peserta terdiri dari 10 atlet Malaysia dan 10 atlet antarabangsa. Kesemua peserta akan menjalani pelbagai tugasan ekstrem yang menguji kekuatan fizikal, kemahiran teknikal, strategi, kerja berpasukan serta kreativiti sepanjang cabaran. Program ini dirakam di lokasi eksklusif Desaru Coast dan bakal disiarkan secara dalam talian dengan jangkaan tontonan sehingga 300,000 penonton di YouTube.
Edisi tahun ini turut mempersembahkan barisan petarung wanita Malaysia paling mantap pernah dibentuk. Selain Jihin sebagai ketua pasukan, skuad negara diperkuatkan oleh Nur Amisha, Eycah, Krystal Angel dan Nur Afifah. Dalam aksi utama, Jihin dijadual berdepan atlet Indonesia, Ade Mutia dari Kalimantan, yang dijangka menjadi pertarungan tumpuan penonton.
Coastal Combat 2026 bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi penanda aras baharu dalam integrasi pertandingan, hiburan dan promosi pelancongan. Usaha ini seiring dengan sambutan Tahun Melawat Johor 2026 yang menjadikan negeri itu antara destinasi utama penganjuran acara sukan berskala antarabangsa.










